BERLIN: Parti anti-pendatang Jerman, Parti Alternatif Germany (AfD), dijangka meraih kemenangan besar dalam Pilihan Raya Negeri di Thuringia, timur Jerman.
Menurut tinjauan oleh stesen penyiar awam ARD semalam, AfD yang berhaluan kanan dijangka memenangi hampir satu pertiga undi, sembilan mata di hadapan parti konservatif, Parti Kesatuan Demokratik Kristian (CDU) dan jauh di depan parti pemerintah Jerman.
Keputusan itu akan memberikan kemenangan pertama kepada golongan kanan di Parlimen sejak Perang Dunia Kedua, walaupun harapan untuk AfD membentuk kerajaan di Thuringia tipis.
Selain itu, AfD turut menduduki tempat kedua dalam pilihan raya negeri di Saxony yang lebih padat dengan penduduk.
Tinjauan di Saxony menunjukkan CDU meraih hampir 32 peratus undi, satu mata di hadapan AfD, sekali lagi jauh di hadapan tiga parti yang memerintah Kerajaan Persekutuan.
Kerajaan kini diperintah Parti Demokrat Sosial, Parti Hijau dan Parti Demokratik Bebas.
Calon utama AfD di Thuringia, Björn Höcke, yang merupakan figura yang sangat kontroversi di Jerman, menyambut kemenangan bersejarah berkenaan.
Beliau dilaporkan gagal meraih mandat langsung untuk membentuk Dewan Negeri, tetapi masih boleh memenangi kerusi kerana berada dalam senarai pemimpin utama parti.
Dengan Pilihan Raya Umum akan berlangsung tahun depan, AfD berada di tempat kedua dalam tinjauan pendapat negara.
Pemimpin bersama parti itu, Alice Weidel berkata keputusan itu adalah ancaman untuk tiga parti yang memerintah Jerman.- AGENSI










