LAHORE: Ribuan orang berkumpul di Lahore, ibu negeri Punjab semalam untuk menuntut pembebasan pemimpin Parti Pakistan Tehreek-e-Insaf (PTI) yang juga bekas Perdana Menteri, Imran Khan.
Pengerusi sementara PTI, Barrister Gohar berkata, kerajaan harus segera membebaskan Imran kerana ketidakstabilan ekonomi dan politik Pakistan kini berada di luar kawalan.
“Saya memberi amaran kepada kerajaan untuk membebaskan Imran kerana situasi kini semakin tidak terkawal dan kami akan membawa rakyat ke jalan untuk protes,” katanya seperti laporan Anadolu.
Beliau mengkritik kerajaan kerana tidak membenarkan partinya mengadakan protes secara bebas sedangkan mahkamah membenarkannya.
Pentadbiran tempatan membenarkan bantahan tersebut diadakan selama tiga jam ekoran perintah Mahkamah Tinggi Lahore, kelmarin.
PTI yang dipimpin Imran berjaya mengadakan protes besar di Lahore buat pertama kali sejak pilihan raya umum 8 Februari lalu, di mana parti itu memperoleh puluhan kerusi di Punjab.
Ini adalah kali kedua PTI mengadakan bantahan besar-besaran selepas di Islamabad pada 8 September lalu.
Setiausaha Agung PTI dan peguam terkemuka, Salman Akram Raja menuduh Suruhanjaya Pilihan Raya Pakistan melakukan penipuan dalam pilihan raya 8 Februari lalu dan merampas kemenangan dari PTI.
“Kerajaan sekarang tidak mempunyai mandat awam dan kami tidak akan membenarkan mereka membawa sebarang pindaan perlembagaan atau menubuhkan mahkamah perlembagaan untuk mengubahsuai ketua hakim yang berat sebelah,” katanya kepada penyokong.- AGENSI










