PETALING JAYA: Beberapa siri insiden masalah teknikal melibatkan pesawat Malaysia Airlines (MAS) dikhuatiri boleh menjejaskan imej negara khususnya sektor pelancongan dan pelaburan sekiranya tidak ditangani segera.
Wakil Pusat Pilihan Pengguna Malaysia (CCC), Tarmizi Anuwar berkata, sehubungan itu, Kementerian Pengangkutan dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) perlu tegas memastikan syarikat penerbangan itu mematuhi piawaian keselamatan yang ketat.
Menurutnya, ini termasuk melaksanakan audit menyeluruh terhadap prosedur penyelenggaraan dan memastikan latihan berterusan kepada jurutera serta juruterbang.
“Satu pendekatan lebih proaktif dan kolaboratif dengan MAS boleh diwujudkan bagi mengenal pasti dan menyelesaikan masalah sistemik yang wujud ini.
“Sekiranya tidak tangani masalah ini dengan segera dan efektif, ia boleh menghakis kepercayaan pengguna terhadap keselamatan MAS dan ini boleh menyebabkan penurunan jumlah penumpang, seterusnya memberi impak negatif kepada kewangan syarikat.
“Sebagai salah satu syarikat penerbangan utama di Malaysia, sebarang insiden negatif boleh menjejaskan reputasi negara secara keseluruhan termasuk sektor pelancongan dan pelaburan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Tarmizi memberitahu, MAS harus memastikan keselamatan penumpang berada pada tahap tertinggi dengan masalah teknikal berulang menunjukkan terdapat keperluan sangat mendesak untuk menambah baik prosedur penyelenggaraan dan pengawasan keselamatan.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Dr. T. Saravanan berkata, kerajaan perlu memastikan MAS dan syarikat penerbangan lain mematuhi semua piawaian antarabangsa mengenai keselamatan penerbangan.
Katanya, langkah itu tidak hanya akan melindungi penumpang malah dapat membantu memulihkan kepercayaan orang ramai terhadap syarikat penerbangan nasional negara.
“Jika tiada campur tangan daripada kerajaan, kita akan melihat penurunan kepercayaan pengguna terhadap MAS yang boleh memberi impak besar kepada industri penerbangan dan pelancongan negara.
“Kejadian seperti ini juga boleh mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelancong antarabangsa yang mungkin akan menjejaskan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelancongan.
“Oleh itu, amat penting untuk kerajaan memastikan pengurusan dan operasi syarikat penerbangan utama negara sentiasa berada pada tahap terbaik. Campur tangan yang tegas dan segera diperlukan bagi memastikan insiden seperti ini tidak berulang dan untuk menjaga keselamatan serta keyakinan pengguna,” katanya.
Baru-baru ini, pesawat MH66 dari Kuala Lumpur ke Incheon, Korea Selatan yang menggunakan armada Airbus 330-300 dilaporkan berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada awal pagi kelmarin akibat masalah dihadapi pada sistem hidraulik.
Insiden itu merupakan sebahagian daripada beberapa kes serupa melibatkan pesawat MAS.
Antaranya pesawat MH156 ke Jeddah pada 4 Ogos baru-baru ini terpaksa berpatah balik ke KLIA berikutan masalah teknikal selain penerbangan MH128 dari Melbourne ke Kuala Lumpur pada 19 Ogos terpaksa dilencongkan ke Lapangan Terbang Alice Springs akibat masalah enjin di udara.
Pada 24 Jun lalu, penerbangan MH780 ke Bangkok berpatah balik ke KLIA selepas mengalami masalah tekanan udara selain pesawat MH199 dari Hyderabad ke Kuala Lumpur pada 20 Jun terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Rajiv Gandhi susulan masalah enjin. – UTUSAN










