Pusat jagaan ada kaitan GISBH hanya terima ‘anak jemaah’

Pusat jagaan ada kaitan GISBH hanya terima ‘anak jemaah’

POLIS memasang pita dilarang melintas di sebuah premis pusat jagaan di Senama Hilir, Rembau dipercayai dikendalikan oleh pengikut GISBH. – UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Hasrat seorang ibu untuk menghantar anaknya belajar mengaji al-Quran di sebuah premis pusat jagaan dipercayai dikendalikan pengikut Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn Bhd. (GISBH) di Kampung Senama Hilir, di sini lapan tahun lalu ‘terbantut’ selepas dimaklumkan mereka menerima kanak-kanak dalam kalangan ‘anak jemaah’ kumpulan itu sahaja.

Wanita itu yang mahu dikenali sebagai Aida yang kini berusia 50-an berkata, perkara itu dimaklumkan oleh seorang lelaki yang berada di premis itu yang menurutnya berpenampilan seperti pengikut al-Arqam dan berusia dalam lingkungan 60-an.

“Ketika itu saya ke sana bersama dua anak lelaki kerana sering terdengar pusat jagaan itu memasang zikir serta bacaan ayat Al-Quran. Jadi saya fikir bagus juga jika anak saya dapat belajar mengaji al-Quran dan agama di situ.

“Namun, sebaik masuk dan ternampak lelaki tersebut saya mula berasa bimbang terus teringat al-Arqam. Celak hitam pekat dan tebal di bawah mata. Dia renung saya dan beri borang, dia kata, hanya akan terima jemaah mereka sahaja, kalau bersetuju jadi jemaah mereka akan terima,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Ujar Aida, walaupun peristiwa itu berlaku lapan tahun lalu, dia tidak pernah melupakan detik berkenaan kerana secara tidak langsung dia turut dipelawa menjadi pengikut kumpulan itu.

“Saya terus tidak jadi isi boring malah saya tidak baca langsung apa yang diperlukan dalam borang berkenaan. Saya hanya beri alasan mahu meminta izin suami terlebih dahulu kepada lelaki itu,” katanya.

Menurutnya, pusat jagaan berkenaan sudah pun beroperasi selama kira-kira 10 tahun di atas tanah wakaf dan kebiasaannya mereka akan melihat setiap pagi sekumpulan kanak-kanak serta remaja akan mulai bekerja.

“Ada yang akan pergi berniaga, ada yang akan menjaga kambing, ada yang akan bercucuk tanam. Kami pun tidak terfikir untuk menyiasat lebih mendalam kerana operasinya menggunakan nama pertubuhan,” katanya lagi.

Sementara itu, tinjauan ke premis berkenaan mendapati pita dilarang melintas telah dipasang oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) selain terdapat papan tanda projek tanaman pisang kendalian pusat berkenaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN