Polis serbu rumah amal, 171 ditahan

Polis serbu rumah amal, tahan 171 orang, selamatkan 400 kanak-kanak

KEADAAN di dalam sebuah daripada rumah amal yang diserbu polis, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Polis menyerbu 20 buah rumah amal iaitu 18 di Selangor dan dua di Ne­geri Sembilan kerana disyaki terlibat dengan pengabaian serta penganiayaan, amang sek­sual dan perbuatan ca­bul terhadap kanak-kanak ber­usia setahun sehingga 17 tahun.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, hasil maklumat lanjut, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesyaki terdapat penglibatan sebuah syarikat dalam kegiatan pemerdaga­ngan manusia.

Razarudin berkata, dalam serbuan bermula pukul 6 pagi sehingga 11 pagi semalam, sebanyak 171 tangkapan dibuat membabitkan 66 lelaki dan 105 perempuan berusia 20-an hingga 40-an yang terdiri daripada penjaga, ustaz dan pengerusi di kesemua rumah amal terbabit.

“Hasil serbuan mendedahkan terdapat kesalahan penga­baian serta penganiayaan ter­hadap penghuni terdiri dari­pada kanak-kanak iaitu seramai 402 mangsa melibatkan 201 lelaki dan 201 perempuan di Selangor dan Negeri Sembilan.

“Sebanyak 18 premis di sekitar negeri Selangor melibatkan tujuh daerah, manakala dua lagi premis dikesan di Negeri Sembilan iaitu satu di Nilai dan satu di Seremban,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang di sini, semalam.

Razarudin berkata, modus operandi digunakan, mangsa diajar dan dididik cara-cara meliwat dan seterusnya mangsa diliwat pula oleh penjaga dan dipaksa untuk meliwat penghuni kanak-kanak yang lain.

“Mangsa yang tidak sihat tidak dibenarkan untuk mendapatkan rawatan di klinik sehingga keadaan kritikal. Mangsa kanak-kanak dan sentimen agama digunakan untuk menagih simpati bagi mendapatkan sumbangan,” katanya.

Menurutnya, siasatan juga mendapati, suspek menggunakan objek yang dipanaskan bagi mencederakan mangsa sebagai hukuman atas kesilapan dilakukan.

“Kegiatan ini turut dikesan menyentuh tubuh badan mangsa dengan alasan melakukan rawatan secara perubatan Islam,” katanya.

Beliau berkata, pada 2 September lalu, PDRM menerima laporan berkaitan dakwaan itu di Port Dickson dan beberapa laporan yang sama turut dibuat di beberapa tempat selepas itu.

Katanya, bertindak atas maklumat tersebut, PDRM membuka lapan kertas siasatan iaitu empat di Selangor dan empat di Negeri Sembilan.

Jelasnya, empat kertas siasatan di Negeri Sembilan sudah dirujuk ke pejabat Peguam Negara dan arahan lanjut untuk melengkapkan tiga kertas siasatan, manakala satu kertas siasatan mendapat arahan pertuduhan di bawah Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

“Siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan Seksyen 12 serta 14 Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

“Seramai enam suspek ditahan terlibat dengan kes yang disiasat di Negeri Sembilan terdiri daripada lima lelaki dan seorang perempuan. Kesemua suspek direman sehingga 15 September ini. Suspek terdiri daripada ustaz, penjaga asrama dan pengerusi pusat pengajian. Kesemua suspek berusia lingkungan 20-an hingga 40-an.

“PDRM mengesyaki terdapat penglibatan Global Ikhwan Services Business Holdings (GISBH) dalam kegiatan pemerdagangan orang.

“Satu laporan polis dibuat di Shah Alam, Selangor dan dikla­sifikasikan di bawah Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) iaitu kesalahan memperdagangkan orang. Jika disabitkan kesalahan, boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun, dan boleh juga didenda,” katanya.

Dalam pada itu, Razarudin berkata, seorang daripada penjaga rumah kebajikan yang diserbu dituduh di Mahkamah Sesyen Seremban hari ini.

Suspek dipercayai terlibat melakukan penderaan dan mengeksploitasi kanak-kanak di rumah kebajikan di Negeri Sembilan.

“Siasatan awal mendapati terdapat penjaga rumah kebajikan mengeksploitasi kanak-kanak dengan mengutip derma bagi kepentingan sendiri,” katanya kepada Utusan Malaysia.

‘OP Global’ melibatkan kekuatan seramai 705 pegawai dan anggota PDRM dibantu 287 rakan strategik terdiri daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kimia Malaysia bagi membanteras jenayah itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN