Polis cari Datuk Seri terlibat sindiket pemerdagangan manusia

Polis cari Datuk Seri terlibat sindiket pemerdagangan manusia

RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkaitan ahli politik didakwa terlibat dengan sindiket pe­merdagangan manusia di Myanmar kini merangkumi semakan transaksi wang melibatkan beberapa individu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pi­haknya akan membuat semakan dengan Bank Negara Malaysia (BNM) berhubung transaksi kemasukan dan pengeluaran wang daripada syarikat atau akaun persendirian melibatkan individu-individu berkaitan.

Katanya, setakat ini pihak polis mengambil keterangan tiga individu termasuk ahli politik yang dikaitkan dan suaminya.

“Kita juga sedang mengesan seorang lagi individu bergelar Datuk Seri untuk dirakam percakapan.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 12 Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Mengulas lanjut, Razarudin berkata, pihaknya juga akan me­rakam percakapan tiga penulis artikel termasuk dua dari media asing bagi membantu siasatan.

Jelas beliau, keterangan ke­tiga-tiga penulis itu diperlukan bagi mengesahkan laporan tersebut ditulis oleh mereka.

“Siasatan dilakukan ekoran artikel pertama dilaporkan sejak Mei lalu. Bagaimanapun, pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut,” katanya.

Pada 28 Ogos lalu, media me­laporkan seorang ahli politik yang juga bekas timbalan menteri dipercayai terlibat aktif dengan menjadi dalang kepada kumpulan sindiket pemerdaga­ngan manusia antarabangsa beroperasi di Myanmar.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim dilaporkan berkata, wanita itu bersama suaminya turut memegang jawatan penting selaku pengerusi keselamatan sebuah syarikat.

Difahamkan, mereka mula dikesan terbabit pada awal 2020 dan wanita itu pernah menjadi Ahli Parlimen di negeri utara tanah air selain pernah dilantik sebagai timbalan menteri.

Ia ekoran tular satu video pembongkaran sindiket pe­mer­dagangan manusia tersebut di Myanmar di siaran Youtube yang diterbitkan oleh media Indonesia baru-baru ini.

Video itu mendakwa ramai rakyat Indonesia telah menjadi mangsa sindiket terbabit yang secara terangan terlibat dalam aktiviti jenayah pemerdagangan manusia termasuk melakukan paksaan, penyiksaan, penjualan organ manusia serta jenayah membunuh.

Hishamuddin dilapor berkata, berdasarkan video tersebut menyatakan suami ahli politik itu turut memegang jawatan pengerusi lembaga pengarah keselamatan di dalam syarikat sebuah syarikat yang disyaki terlibat dalam aktiviti-aktiviti jenayah di Myanmar.

Hishamuddin mendakwa, sya­rikat itu telah membantu membina pusat kegiatan scammer dan pemerdagangan manusia salah satunya dikenali sebagai KK Park di bandar Myawaddy, Myanmar.

Susulan laporan tersebut, bekas Ahli Parlimen Baling, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim memberi keterangan kepada polis selepas dikaitkan dalang kepada kumpulan sindiket pemerdagangan manusia itu.

Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, beliau membuat laporan bagi menafikan dakwaan tersebut dengan menganggap maklumat yang tersebar adalah laporan media picisan dari negara seberang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN