PN hanya terima MoU tepati kehendak Perlembagaan

PN hanya terima MoU tepati kehendak Perlembagaan

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) hanya menerima Memorandum Persefahaman (MoU) peruntukan ahli Parlimen pembangkang sekiranya meletakkan syarat yang selaras dan menepati kehendak Perlembagaan Persekutuan.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, segala syarat di­tetapkan adalah perlu menepati undang-undang negara khususnya dalam memperkukuh sistem demokrasi dan semak serta seimbang dalam Dewan Rakyat.

“Kami lihat peruntukan yang terkandung dalam MoU kerajaan adalah syarat untuk tidak memberi peruntukan.

“Sedangkan sepatutnya ia di­permudah sebagaimana Selangor, Perak, Kelantan dan Ke­dah yang menyalurkannya tan­pa sebarang syarat,” katanya ke­pada Utusan Malaysia.

Kelmarin, Timbalan Perda­na Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mendedahkan enam kan­dungan MoU tersebut an­ta­­ranya mengenai peranan dan fungsi ahli Parlimen Pembang­kang sebagai komponen pen­ting dan akujanji sebagai wa­kil rakyat berwibawa, perlu bertindak sebagai komponen semak dan imbang yang bertanggungjawab dan membina.

Selain itu, MoU juga me­nyen­tuh pematuhan kepada Perlembagaan Persekutuan dan sistem demokrasi berparlimen.

Ia susulan semua ahli Parlimen PN yang sebelum ini se­bulat suara menolak Memorandum Persefahaman kerajaan ber­kaitan dengan peruntukan kepada wakil rakyat pembangkang di atas empat faktor antaranya dikatakan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, nilai budaya, moral dan agama.

Ditanya sama ada PN akan mengadakan perbincangan semula dengan kerajaan, Tuan Ibrahim berkata, ia bergantung kepada MoU memandangkan pihaknya hanya menerima sya­rat selaras dan kehendak undang-undang dalam memperkukuh sistem demokrasi dan semak dan imbang.

Katanya, meskipun kerajaan mempunyai kekuatan dua pertiga majoriti, namun jika dilihat kepada syarat MoU seolah-olah menunjukkan kerajaan sangat takut kepada pembangkang.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, MoU itu dilihat menokok tambah peraturan yang bukan-bukan tentang perlakuan ahli Parlimen, sedangkan undang-undang berkaitannya telah sedia ada.

Katanya, ia sekali gus akan mengurangkan kebebasan bersuara yang telah sedia ada.

“Justeru, menerima MoU ini adalah langkah yang berbahaya. Bukan sahaja merosak­kan identiti nasional, tetapi ju­ga mengancam asas dan se­ma­ngat demokrasi berparlimen da­lam negara kita,” kata­nya.

Katanya, penolakan MoU adalah amat penting demi memastikan kelangsungan identiti nasional bagi memastikan Malaysia maju mengikut acuan dan nilai kita sendiri berasaskan keluhuran Perlembagaan Persekutuan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×