PETALING JAYA: Para saintis global melahirkan kebimbangan berhubung kewujudan berbilion tan sisa plastik yang sudah ‘menguasai’ 40 peratus daripada permukaan laut yang jika tidak ditangani segera bakal menjadikan jumlahnya melebihi populasi ikan menjelang 2050.
Bahkan kajian oleh penyelidik tempatan mendapati hidupan marin khususnya ikan yang terdedah kepada mikroplastik sudah menunjukkan tanda-tanda tekanan fizikal dan fisiologi termasuk perubahan dalam tabiat pemakanan seterusnya mudah terdedah kepada penyakit.
Faktor-faktor ini bakal mendorong kepada kepupusan hidupan marin sekali gus menjejaskan sektor keterjaminan makanan negara.
Lebih membimbangkan, penggunaan plastik sama ada untuk penghantaran makanan mahupun di restoran dan gerai makan meningkat sejak empat tahun lalu dalam kalangan masyarakat kita terus menyumbang kepada peningkatan mikroplastik di laut dan darat.
Plastik terkumpul di sungai dan laut merupakan satu krisis global yang perlu ditangani segera kerana ia bukan sahaja memberi kesan negatif kepada alam sekitar bahkan mampu menyumbang kepada ‘kepupusan’ hidupan marin.
Kebimbangan itu disuarakan Pusat Kepelbagaian Biologi yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) apabila hasil kajiannya mendapati 40 peratus daripada permukaan lautan kini ‘dikuasai’ berbilion tan sisa plastik.
Lebih malang lagi, penyelidik meramalkan menjelang tahun 2050, jumlah sisa plastik di lautan dijangka melebihi populasi ikan. Dalam kajian dilakukan Pusat Penyelidikan Perikanan (IPP) Batu Maung mendapati, hidupan laut dan sungai khususnya ikan yang terdedah kepada mikroplastik menunjukkan tanda tekanan fizikal dan fisiologi termasuk perubahan dalam tabiat pemakanan sekali gus memberi kesan kepada pertumbuhan serta peningkatan kerentanan kepada terhadap penyakit.
Kehadiran mikroplastik di laut dan sungai juga dikesan mengakibatkan potensi bio-akumulasi bahan toksik yang boleh menyebabkan penurunan kesuburan dan penghasilan telur terhadap hidupan akuatik.
Faktor itu mengakibat kan jangka hayat hidupan itu berkurangan berbanding sebelumnya sekali gus memberi impak negatif terhadap sektor keterjaminan makanan negara.
Pengarah Pusat Penyelidikan Pentaksiran Impak, Pusat Penyelidikan Perikanan (IPP) Batu Maung, Ku Kassim Ku Yaa cob berkata, berdasarkan kajian pihaknya, parameter kimia yang direkodkan dalam organisma didominasi oleh rayon, polipropilena (PP) dan polietilena (PE).
Namun, beliau berkata, beberapa polimer yang mempunyai kadar toksik tinggi seperti poliuretan (PUR) dan polivinil klorida (PVC) juga ditemukan.
“Lebih membimbangkan ada\lah bahan kimia yang digunakan dalam penghasilan plastik seperti bispenol A (BPA) dan phthalate boleh dirembes dan berakumulasi dalam persekitaran serta sumber makanan sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai kesan jangka panjang terhadap kesihatan sejagat.
“Hubung kait antara ba han kimia ini dengan masalah kesihatan seperti ketidakseimbangan hormon serta masalah reproduksi telah banyak dilaporkan di dalam kajian dalam dan luar negara. Pemantauan berkala bagi polimer jenis ini perlu dilakukan kerana sifat karsinogennya (ejen pertumbuhan kanser),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi polimer lain yang mempunyai kadar toksik rendah, kajian jangka panjang wajar dijalankan untuk menentukan sama ada bio-akumulasi akan memberi kesan negatif kepada organisma akuatik dan manusia yang memakannya.
“Ini bukan sahaja mengancam kesejahteraan ekosistem, tetapi juga menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan makanan laut yang menjadi sumber protein utama bagi masyarakat di negara ini,” katanya.
Sebelum ini, IPP Batu Maung menjalankan kajian berhubung impak mikroplastik terhadap hidupan akuatik di beberapa muara sungai di Perak, Terengganu, Kedah dan Pulau Pinang membabitkan Sungai Merbok (Kedah), Sungai Kurau (Perak), Sungai Terengganu (Terengganu), Sungai Pinang, Sungai Perai dan Sungai Nibong (Pulau Pinang).
Selain itu, IPP Batu Maung juga menjalankan kajian sama di Laut China Selatan dan Selat Melaka.
Sementara itu, Pegawai Penyelidik IPP Batu Maung, Najihah Mohamad berkata, antara spesies ikan yang dikaji pihak nya adalah seperti kembung, bilis, kerapu, jenahak, siakap dan kerang-kerangan.
Katanya, hasil kajian mendapati mikroplastik ditemui dalam jumlah yang berbeza dalam setiap spesies dengan beberapa jenis ikan menunjukkan tahap pencemaran lebih tinggi.
“Bagaimanapun, harus diingati mikroplastik yang ditemui di dalam ikan bukan kesemuanya berakhir dalam tisu yang dimakan oleh manusia, tetapi lebih banyak ditemui di dalam organ yang dibuang seperti saluran usus dan insang.
“Berbeza dengan kerang-kerangan yang kebiasaannya di makan secara keseluruhan. Oleh itu, kesemua pihak haruslah mengkonsumasi kerang-kerangan dengan berpada-pada.
“Penemuan ini amat penting kerana ia memberi gambaran tentang bagaimana mikroplastik berpindah daripada persekitaran laut kepada ikan dan kerang sekali gus membahayakan kesihatan manusia yang memakan nya,” katanya. – UTUSAN










