BOGOTA: Presiden Peru, Dina Boluarte mengisytiharkan darurat di tiga wilayah negara itu susulan gelombang kebakaran merebak dan memusnah ribuan hektar kawasan hutan.
Institut Pertahanan Awam Negara melaporkan, 34 kebakaran hutan aktif mengorbankan 16 nyawa dan mencederakan 140 yang lain sejak Julai.
Sektor ternakan juga dilaporkan terjejas, dengan 337 ekor ternakan mati sepanjang tempoh sama.
Boluarte kesal kerana sebahagian besar daripada lebih 230 kebakaran hutan yang berlaku, berpunca daripada tindakan manusia, termasuk amalan lapuk nenek moyang untuk menyediakan tanah penanaman dan memperluaskan kawasan pertanian.
Beliau berkata, kira-kira 80 peratus daripada kebakaran tersebut dikawal, namun meminta masyarakat pertanian untuk menghentikan pembakaran padang rumput.
Tiga wilayah paling terjejas ialah San Martin, Ucayali dan Amazonas, yang menurut Boluarte keadaan atmosferanya menyukarkan pesawat untuk memasuki kawasan tersebut dan memadam kebakaran dari udara.
“Kami bersama anda, dan anda tidak bersendirian. Namun, janganlah kita menjadi penyebab kepada lebih banyak kebakaran,” katanya.
Lebih daripada 5,000 hektar hutan terbakar dan beberapa bandar di negara itu kehabisan air, dengan pakar menyifatkan ia sebagai kemarau terburuk dalam lebih sedekad.
Boluarte berkata, 20 tan bantuan kemanusiaan dihantar ke Iquitos untuk menangani kekurangan air akibat ketiadaan hujan.- ANADOLU










