KUALA LUMPUR: Lebih 500 penternak ayam kecil di seluruh negara mendakwa mereka ‘ditekan’ syarikat besar yang mengaut keuntungan hingga RM180 juta setiap tahun bagi enam pusingan ternakan ayam.
Tekanan syarikat-syarikat besar tersebut seperti menjadikan penternak kecil bagai ATM (mesin juruwang automatik). Tindakan itu berlaku selepas kerajaan tidak lagi meletakkan harga lantai ayam di ladang.
Kumpulan itu didakwa mengawal harga ayam di ladang mengikut kehendak mereka menyebabkan penternak kecil menanggung kerugian.
Lebih malang penternak yang tidak mahu mengikuti ‘arahan’ kumpulan itu diugut hingga terpaksa menjual stok ayam pada harga bawah kos.
Pertemuan Utusan Malaysia dengan beberapa penternak kecil dari Selangor, Pahang, Johor dan Perak mendapati mereka masih bergelut dengan kerakusan syarikat besar yang tidak disedari kerajaan.
Penternak yang tidak mahu dikenali berkata, syarikat besar itu memperoleh sekitar RM30 juta untung hasil penipuan terhadap peternak kecil setiap kali pusingan ternakan iaitu dua bulan.
Ini kerana, jelas mereka, ladang bersaiz sederhana dan kecil menghasilkan 15 juta ekor ayam bagi setiap pusingan maka kartel memperoleh RM2 untuk setiap seekor ayam menjadi sumber protein kepada lebih 33 juta rakyat Malaysia itu.
Katanya, penternak-penternak kecil terpaksa menanggung kerugian hingga 100 peratus sedangkan syarikat besar itu menikmati keuntungan sepenuhnya memandangkan kuasa pasaran di tangan mereka.
“Syarikat besar bermain harga sehingga menyebabkan kos di ladang tidak boleh ditanggung peternak kecil, kami sekarang sudah menjadi ‘ATM’ kepada kumpulan itu.
“Kos ayam bagi setiap (kilogram) kg di ladang ditanggung RM5.50 setiap kg tetapi mereka ambil RM4.50 setiap kg. Penternak rugi kerana penternak mensubsidikan kartel RM1 untuk setiap kg atau RM2 bagi setiap ekor ayam.
“Ini menyebabkan ladang yang bersaiz kecil menanggung kerugian sehingga RM400,000 sepusingan dan perlu kita ingat untuk satu tahun mempunyai sebanyak enam pusingan ternakan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Mengulas lanjut, mereka berkata, syarikat boleh menentukan harga di ladang apabila ketiadaan harga lantai.
Ditanya mengapa perkara ini tidak disuarakan memandangkan terdapat bukti harga disepakat melalui kontrak ditandatangani, penternak-penternak berkata, mereka diugut secara komersial iaitu kartel akan menghentikan penghantaran anak ayam dan dedak sekiranya terdapat penternak yang berani melawan.
“Mereka mahu bunuh kami ini hanya perlu satu hari sahaja, jika kami terpaksa menanggung kerugian untuk dua kitaran maka kami tidak akan mampu ‘bangun’ lagi kerana industri ayam merupakan industri yang capital intensive iaitu modal tinggi tetapi pulangan amat sedikit.
“Kita minta ehsan kerajaan mengambil peduli kesusahan kami. Jangan sampai menyebabkan industri ini hancur kerana syarikat besar yang jadi kartel ini,”katanya. – UTUSAN










