LONDON: Kajian terbaharu mendapati kanak-kanak yang menggunakan lebih banyak produk penjagaan diri seperti pelindung matahari, losyen, sabun dan barangan penjagaan rambut mempunyai tahap ftalat toksik yang lebih tinggi dalam badan mereka.
Penyelidikan itu mendedahkan kanak-kanak berkulit hitam dan Latin adalah golongan tertinggi yang dikesan dengan penemuan tersebut.
Kajian penyelidik dari Universiti George Mason, Michael Bloom itu memeriksa lebih daripada 600 sampel air kencing kanak-kanak berumur empat hingga lapan tahun untuk ftalat.
Ftalat merupakan pengganggu endokrin yang sangat toksik dan boleh mengubah pengeluaran hormon serta dikaitkan dengan penyakit reproduktif, sistem imun dan metabolik.
Ia juga dianggap sebagai bahan toksik perkembangan yang memberi kesan kepada tingkah laku dan keupayaan pembelajaran kanak-kanak.
“Hasilnya menunjukkan penggunaan produk penjagaan kulit pada kanak-kanak adalah sumber pendedahan kepada bahan kimia ini.
“Pastinya ia menimbulkan kebimbangan kerana produk ini cenderung digunakan dengan kerap dan dalam jangka masa lama,” kata Bloom.
Ftalat adalah bahan kimia biasa yang digunakan sebagai pelentur dalam bekas plastik dan banyak syarikat juga menambahkannya sebagai bahan dalam produk penjagaan diri untuk membantu menstabilkan atau membawa wangian.
Kanak-kanak sangat terdedah kepada pendedahan ftalat kerana mereka mempunyai kawasan kulit yang lebih besar berbanding berat badan mereka, dan sistem metabolik mungkin belum sepenuhnya berkembang untuk memproses bahan kimia tersebut.
Penggunaan losyen seperti pelembap atau pelindung matahari serta minyak, dikaitkan dengan tahap ftalat yang tinggi dalam kalangan kanak-kanak.
Menurut kajian, produk murah berkemungkinan mengandungi tahap ftalat lebih tinggi kerana mungkin berada dalam tiub plastik lebih lama dan terdedah kepada suhu tinggi, dua faktor yang menyebabkan bahan kimia berpindah dengan banyak.
Bloom berkata, Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan membenarkan sejumlah terhad ftalat ditambah dalam produk penjagaan diri, tetapi tiada pemantauan atau had mengenai jumlah bahan kimia dalam produk tersebut.
Justeru, beliau menyarankan penggubal dasar yang mengawal pengeluaran produk penjagaan diri untuk menghapuskan jurang pendedahan bahan kimia yang menganggu endokrin dalam kalangan kanak-kanak.- THE GUARDIAN











