WASHINGTON: Penggodam Iran didakwa menghantar e-mel mengandungi bahan yang dicuri daripada kempen calon Republikan, Donald Trump kepada individu yang terlibat dalam kempen pemilihan semula Presiden Joe Biden.
Perkara itu didedahkan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), Agensi Keselamatan Siber dan Infrastruktur dan Pejabat Pengarah Perisikan Kebangsaan Amerika Syarikat (AS) dalam satu kenyataan bersama, semalam.
Menurut agensi keselamatan itu, tindakan terbabit dipercayai sebahagian daripada usaha meluas Teheran untuk mempengaruhi pilihan raya negara tersebut.
“Selain itu, penggodam Iran meneruskan usaha mereka sejak Jun untuk menghantar bahan yang dicuri dan tidak didedahkan kepada umum yang dikaitkan dengan Trump kepada organisasi media AS.
“Ini adalah contoh terbaharu aktiviti siber jahat Iran yang menggunakan pendekatan pelbagai cabang untuk menimbulkan perpecahan dan melemahkan keyakinan terhadap proses pilihan raya kami,” katanya.
Agensi itu berkata, tiada maklumat yang menunjukkan penerima e-mel tersebut memberikan maklum balas, malah butiran lanjut mengenai kandungan bahan dicuri juga tidak didedahkan.
Menurut Reuters, penggodam itu menghantar e-mel kepada individu terbabit dalam kempen Biden pada akhir Jun dan awal Julai lalu, yang mengandungi petikan teks daripada bahan dicuri dalam kempen Trump.
Biden menarik diri daripada perlumbaan presiden pada 21 Julai dan digantikan oleh Naib Presiden, Kamala Harris.
Ogos lalu, AS menuduh Iran melancarkan operasi siber terhadap kempen kedua-dua calon presiden dan menyasarkan orang awam dengan operasi pengaruh yang bertujuan untuk mencetuskan perpecahan politik.
Iran menafikan campur tangannya dalam urusan demokrasi AS.
Semalam, misi tetapnya ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York menegaskan tuduhan terbaharu AS terhadap Teheran adalah tidak berasas.
“Iran tidak mempunyai sebarang motif atau niat untuk campur tangan dalam pilihan raya AS,” katanya.










