PETALING JAYA: Kaum Melayu dikategorikan sebagai kumpulan paling ramai bankrap iaitu 16,135 kes dalam tempoh lima tahun sehingga Mei tahun ini.
Orang Cina merekodkan sejumlah 7,263 kes dalam tempoh sama, manakala India dengan 2,075 kes; 2,242 kes (lain-lain kaum) dan 97 kes (bukan warganegara).
Antara punca kaum Melayu ramai menjadi bankrap termasuk sikap ‘pemurah’ iaitu senang menjadi penjamin kepada orang lain terutama adik-beradik dan kawan-kawan.
Statistik Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) itu turut menyaksikan kumpulan umur 35 hingga 44 tahun bagi semua kaum mencatatkan jumlah kebankrapan paling tinggi iaitu sebanyak 10,862 diikuti kumpulan umur 45 hingga 54 tahun iaitu sebanyak 7,687.
Mengulas perkara itu, penganalisis ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, sikap ‘pemurah’ orang Melayu dilihat menjadi antara punca yang menyebabkan mereka diisytihar muflis.
Katanya, ini kerana sikap itu menyebabkan mereka bankrap akibat menjadi penjamin pinjaman kepada orang lain selain faktor muflis lain disebabkan hutang kredit kad, pinjaman peribadi dan kenderaan.
“Orang Melayu ini lebih pemurah, sanggup menjadi penjamin adik-beradik dan kawan-kawan. Kemudian individu itu menganiaya dan akhirnya dibankrapkan sebab itu.
“Cuma kita kena kaji secara lebih mendalam adakah bankrap sebab kad kredit, pinjaman peribadi, pinjaman kenderaan atau sebab jadi penjamin.
“Kalau kita boleh klasifikasikan itu, baru kita tahu dan jika tidak, maka tidak adil banding antara Melayu dan kaum lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Statistik MdI menyaksikan, kaum Melayu merekodkan sebanyak 4,883 kes kebankrapan pada 2020; 3,816 kes (2021); 3,268 kes (2022); 2,716 kes (2023) dan 1,452 kes (sehingga Mei 2024).
Kaum Cina mencatatkan sebanyak 2,055 kes kebankrapan pada 2020; 1,664 kes (2021); 1,574 kes (2022); 1,353 kes (2023) dan 617 kes setakat Mei tahun ini.
Selain itu, kaum India pula merekodkan sebanyak 581 kes kebankrapan pada 2020; 542 kes (2021); 417 kes (2022); 375 kes (2023) dan 160 kes setakat Mei tahun ini.
Mengulas lanjut, Barjoyai berkata, pengurusan kewangan yang salah juga boleh menjadi punca individu itu dibankrapkan akibat kad kredit dan pinjaman peribadi.
Bagaimanapun, katanya, kedua-dua itu merupakan gejala disebabkan pendapatan yang tidak mencukupi untuk menanggung perbelanjaan bulanan.
“Jadi maknanya perlu dikaji secara lebih mendalam bagaimana mahu memastikan setiap orang ada cukup pendapatan untuk menampung perbelanjaan.
“Kalau tidak cukup, bagaimana mahu tolong untuk tolong menampung perbelanjaan ini bagi memastikan tidak ada orang bankrap kerana lapar, dan berhutang yang b anyak” katanya.
Pada masa sama, Barjoyai berkata, pihaknya percaya kebanyakan kes kebankrapan di negara ini berpunca daripada perniagaan.
Katanya, ini kerana kebanyakan peniaga tidak dapat melunaskan hutang apabila terpaksa meminjam selepas perniagaan mereka tidak berjalan seperti dirancang.
“Ini berlaku kerana salah faham antara rakan kongsi atau individu itu dijadikan penjamin kepada peminjam yang tidak bertanggungjawab menguruskan hutangnya,” katanya.
Dalam pada itu, Pengarah Program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA), Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kes bankrap dalam kalangan orang Melayu itu dilihat amat membimbangkan kerana timbul persoalan berapa ramai yang menghampiri nilai ambang RM100,000 sebelum diisytiharkan bankrap.
Katanya, punca ramai bankrap juga boleh diakibatkan oleh pengaruh sosial dan kurang pengetahuan mengenai pengurusan kewangan peribadi.
“Penting untuk sentiasa melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan pengurusan kewangan yang berkesan seperti sentiasa mengamalkan sikap berbelanja mengikut kemampuan dan berhemah serta tidak mudah terpengaruh dengan media sosial dan kawan-kawan untuk berbelanja di luar kemampuan,” katanya.
Justeru, katanya, kerajaan boleh mempromosikan sistem kewangan dan pembiayaan alternatif yang tidak melibatkan bank bagi mengelakkan lebih ramai lagi terjerat dengan hutang sehingga bankrap.
“Atau institusi kewangan yang mengenakan kadar faedah tetapi beralih kepada sistem Qardhul Hassan yang ada ruang untuk penghapusan hutang jika peminjam betul-betul tidak mampu membayar,” katanya.










