KELMARIN hampir 5,000 pengundi terdiri daripada pegawai dan anggota polis dan tentera serta pasangan mereka menunaikan tanggungjawab mengundi awal dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Berdasarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah yang keluar mengundi tinggi, iaitu 94.45 peratus.
Itu merupakan petanda yang baik bagi hari mengundi pada Sabtu ini.
Malah, SPR turut menyasarkan kadar yang keluar mengundi sebanyak 70 peratus daripada keseluruhan 66,318 pengundi.
Bagi mencapai sasaran 70 peratus, bilang pengundi yang perlu menunaikan tanggungjawab mengundi adalah seramai 46,423 daripada keseluruhan 66,318 pengundi berdaftar.
Namun, usaha mengajak dan memujuk para pengundi menunai tanggungjawab mereka bukan mudah dan memerlukan kerjasama calon, pemimpin dan jentera parti yang bertanding.
Para pengundi perlu ditegaskan bahawa undi mereka amat penting bagi menentu calon yang akan mewakili mereka.
Adalah satu kerugian sekiranya mereka tidak mengundi kerana siapa wakil rakyat yang terpilih akan mewakili suara mereka di peringkat negeri.
Andai tidak menunaikan tanggungjawab memilih atau tersalah pilih, maka usah menyalahkan pihak lain.
Selain mengajak dan menyeru supaya pengundi keluar mengundi, terdapat juga cabaran untuk memujuk pengundi yang tinggal di luar untuk pulang memilih wakil rakyat yang baharu bagi DUN Mahkota, Sabtu ini
Malah, wujud persepsi bahawa apa pun keputusan PRK DUN Mahkota, ia tidak akan mengubah atau menggugat keutuhan kerajaan negeri yang diterajui Barisan Nasional (BN).
Persepsi itu perlu dipadamkan kerana setiap undi adalah amat penting.
Seakan-akan mengakui pentingnya pengundi di luar, seperti yang bekerja di Singapura, Kuala Lumpur atau yang tinggal di luar kawasan, Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi turut berulang kali menyeru golongan tersebut supaya pulang mengundi pada Sabtu ini.
Malah, bagi memudahkan urusan mereka yang bekerja di Singapura untuk pulang mengundi, beliau telah meminta Jabatan Imigresen memastikan kaunter di dua pintu masuk sempadan negara beroperasi pada tahap maksimum, Jumaat dan Sabtu ini.
Nyata tindakan itu membuktikan bahawa undi setiap pengundi amat bermakna bagi DUN Mahkota dan kerajaan berusaha memudah dan melancarkan urusan mereka.
Justeru, para pengundi DUN Mahkota, jom undilah calon pilihan anda.
Rugi sekiranya tidak menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat yang baharu di DUN Mahkota. – UTUSAN










