SEREMBAN:Mangsa penipuan dalam talian yang mendakwa ‘dipukau’ sebenarnya menjadi mangsa permainan emosi ahli sindiket sehingga gagal berfikir secara rasional.
SAC Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Zaldino Zaludin berkata, pemikiran mangsa sebenarnya telah ditundukkan secara psikologi dengan titik perhatian yang menakjubkan.
“Ramai mangsa penipuan rasa ‘terpukau’ tetapi minda mereka telah diambil alih secara psikologi disebabkan suatu tekanan, rasa takut, cemas dan terlalu berkehendak.
“Tiada jampi, mantera atau kemayan digunakan,” katanya ketika menjadi panel pada pada Program Townhall Discussion Cybercrime Threat Peringkat Kontinjen Negeri Sembilan 2024 di Dewan Majlis Bandaraya Seremban di sini hari ini.
Menurut Zaldino, tindakan sebaiknya dilakukan mangsa adalah dengan mematikan panggilan pihak sindiket supaya mereka tidak terus mempengaruhi minda dan jangan mengikut arahan diminta.
Jelas beliau, sindiket penipuan biasanya akan menggunakan intonasi suara yang tegas dan meyakinkan seolah-olah darip agensi berkaitan seperti Polis Diraja Malaysia, Lembaga Hasil Dalam Negeri dan pihak bank.
“Scammer ini akan membaca skrip disediakan dengan menggunakan suara yang tegas dan kemas. Jika fikir secara logik, tiada agensi kerajaan akan berhubung melalui panggilan telefon untuk buat pemindahan akaun dan tiada mahkamah akan menghubungi mangsa begitu saja dan menyatakan kesalahan dilakukan,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, bagi tempoh bulan Januari hingga Ogos lalu seramai 12,722 individu telah ditahan membabitkan kes jenayah siber yang direkodkan.
Tambah beliau, berdasarkan statistik bagi 2023 sebanyak 18,393 jumlah tangkapan direkodkan manakala bagi tahun 2022 sebanyak 16,244 tangkapan.
“Bagi jumlah keseluruhan kes pula, sebanyak 25,447 kes jenayah siber direkodkan pada tahun 2022 manakala bagi tahun 2023 pula sebanyak 34,493 kes.
“Dalam tempoh Januari sehingga Julai tahun ini sebanyak 18,662 kes direkodkan dan kes tertinggi ialah jenayah telekomunikasi iaitu 7,664 kes,” katanya.-UTUSAN.










