MAHA 2024: KPKM, FGV dan Genting Plantations jalin kerjasama

MAHA 2024: KPKM, FGV dan Genting Plantations jalin kerjasama

MOHAMAD Sabu menyaksikan pertukaran dokumen MoU antara Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) kementerian, Datuk Azah Hanim Ahmad dan Ketua Eksekutif Genting Plantations Bhd., Datuk Seri Tan Kong Han di Serdang, semalam. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) melibatkan 400 hektar tanah bertujuan membangunkan industri jagung bijian (grain corn).

MoU itu melibatkan kerja­sama kementerian dengan dua syarikat iaitu FGV Integrated Farming Holdings Sdn. Bhd. dan Genting Plantations Berhad.

Menteri Pertanian dan Keter­jaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pertukaran itu diadakan sebagai inisiatif mengukuhkan pembangunan industri jagung bijian dalam negara, khususnya melibatkan pengeluaran berskala besar.

Katanya, ia bagi mengurangkan kebergantungan industri ternakan terhadap produk yang majoritinya diimport dari Brazil dan Argentina itu.

“Kita import jagung bijian hampir 100 peratus dan ia adalah 50 ke 60 peratus makanan ternakan yang digunakan.

“Kita harap dengan usaha ini ia menjadi satu permulaan berskala besar dan kita berharap syarikat-syarikat lain yang mempunyai tanah luas, sebahagian kecilnya diberi untuk tanaman jagung bijian,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Pertukaran MoU bersama Genting Plantations dan FGV Integrated di sini, semalam.

Dalam pada itu, kata Moha­mad, projek yang baru dimulakan itu berjaya mengurangkan kebergantungan import seba­nyak 10 peratus.

Katanya, bagaimanapun negara menyasarkan pengurangan sekitar 60 peratus pada masa akan datang.

“Projek ini sudah dimulakan secara rintis melibatkan 200 hektar. Buat masa sekarang pengurangan tidak sampai 10 peratus. Kita masih jauh lagi.

“Kalau boleh kita nak capai pengurangan sehingga 50 ke 60 peratus kemudian baru kita boleh stabil,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×