Laksana Dasar Gaji Progresif sehingga tiga tahun – MEF

Laksana Dasar Gaji Progresif sehingga tiga tahun – MEF

SYED HUSSAIN SYED HUSMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan disaran melaksanakan insentif Dasar Gaji Progresif (DGP) yang dijangka bermula bulan depan secara menyeluruh untuk tempoh sehingga tiga tahun.

Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, pelaksanaan diumumkan pada masa ini yang untuk setahun sahaja sememangnya akan menjadi beban besar buat majikan.

Justeru, katanya, majikan bimbang tidak dapat terus menanggung kos jika kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan subsidi selepas tempoh setahun itu.

“Kebanyakan majikan tertanya-tanya status DGP jika kerajaan menghentikan insentif setelah tamat setahun sama ada mereka boleh menarik balik kenaikan gaji yang diberi atas dasar subsidi bulanan yang diberikan kepada majikan .

“Untuk memberi keyakinan dan menggalakkan majikan menyertai DGP, kerajaan hendaklah memberi keyakinan bahawa insentif DGP adalah untuk jangka waktu yang lebih panjang dan bukan setakat setahun sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Media sebelum ini melaporkan DGP dijangka dilaksanakan secara menyeluruh pada Oktober ini selepas penilaian impak projek rintis selesai dilaksanakan bulan ini.

Selain itu, kerajaan pada Ogos dilapor tidak menolak untuk melanjutkan tempoh masa pemberian insentif kepada majikan yang melaksanakan dasar tersebut kepada 24 bulan berbanding 12 bulan ditetapkan ketika ini.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dilaporkan berkata, keputusan mengenai lanjutan tempoh masa pemberian insentif itu akan diputuskan berdasarkan penelitian dan maklum balas diperoleh daripada pelaksanaan projek rintis yang bermula Jun lalu.

Mengulas lanjut, Syed Hussain berkata, kerajaan disaran memberi rangsangan kepada majikan sektor swasta untuk melaksanakan DGP dengan memberi jaminan bahawa insentif yang diberikan tidak terhad kepada satu tahun sahaja.

“Walaupun ada kenyataan bahawa kerajaan menimbang untuk melanjutkan pelaksanaan lebih dari setahun, majikan tidak begitu yakin dengan kenyataan sedemikian.

“Jika kerajaan memutuskan untuk tidak memberi subsidi selepas satu tahun, majikan akan dibebani dengan kos gaji yang tinggi kerana jumlah kenaikan gaji dibawah DGP adalah di antara RM200 hingga RM300.

“Keperluan majikan yang menyertai DGP untuk membayar gaji pada kadar yang ditetapkan juga menjadi halangan kepada majikan kerana kadar terendah yang ditentukan adalah kira-kira 20 peratus lebih tinggi dari kadar gaji minimum semasa,” katanya.

Pada masa sama, beliau menambah, pelaksanaan DGP dijangka mewujudkan situasi menang-menang dalam kalangan pekerja, kerajaan dan majikan.

Katanya, ini kerana pekerja perlu dilatih untuk meningkatkan produktiviti yang akhirnya akan menjadikan majikan lebih berdaya saing.

Selain itu, MEF berharap selain pelaksanaan DGP, kerajaan berusaha membawa pelaburan baharu bernilai dan berimpak tinggi yang memperkenalkan teknologi baharu.

“Usaha sebegini akan mewujudkan peluang pekerjaan bernilai lebih tinggi bagi menarik lebih ramai pakar untuk tinggal di Malaysia dan menarik pakar Malaysia yang berada di luar negara pulang ke tanah air.

“Kerajaan hendaklah menarik pelaburan berkualiti tinggi untuk menyediakan rakyat peluang, cabaran dan keseronokan yang lebih baik dalam pekerjaan.

“Kita juga mesti melakukan semua usaha yang kita mampu untuk mengekalkan industri sedia ada dengan menawarkan insentif baharu yang lebih menarik.

“Untuk mengekalkan mereka di sini adalah lebih penting kerana mereka sudah biasa dengan budaya kita dan cara kita bekerja,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN