KDN rampas 24,805 naskhah al-Quran

KDN rampas 24,805 naskhah al-Quran

NIK Yusaimi Yussof (tengah) menunjukkan cop tapisan dan semakan KDN pada al-Quran di UMK Kampus Bachok, Kelantan, semalam. – UTUSAN/TOREK SULONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK: Kawalan Kementerian Dalam Negeri (KDN) me­rampas 24,805 naskhah bahan al-Quran tanpa tapisan yang dikesan me­langgar Akta Pen­cetakan Teks al-Quran (APTQ) dalam tempoh lapan bulan bermula Januari hingga Ogos lalu.

Setiausaha Bahagian Pe­nguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yussof berkata, rampasan bernilai lebih RM3.4 juta dilakukan menerusi 219 Op Mulia di pelbagai premis.

Menurutnya, hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati kesemua mushaf al-Quran itu tidak memiliki cop kebenaran dan hologram KDN.

“Lebih mengejutkan lagi 90 peratus mushaf itu mempu­nyai kesalahan selepas disemak Lajnah Tasheh al-Quran KDN. Kita (KDN) ada jawatankuasa tapisan dalam kalangan pakar yang mesti dirujuk oleh pen­cetak dan pengedar al-Quran.

“Daripada jumlah itu seba­nyak 1,300 teks dan bahan al-Quran bernilai RM26,000 telah dirampas menerusi 15 siri pemantauan dan penguatkuasaan di negeri Kelantan,” katanya kepada pemberita selepas me­rasmikan Seminar Hifz al-Quran: Wakaf Ibtida’ peringkat Kelantan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok, di sini semalam.

Nik Yusaimi memberitahu, usaha yang digerakan itu bertujuan menyokong misi sifar al-Quran yang tidak memiliki perakuan KDN dan menyekat pengedaran mushaf tanpa tapisan serta memiliki kesilapan.

Katanya, sehingga kini terdapat 985 jenis cetakan al-Quran di pasaran yang memiliki perakuan KDN.

“Hanya mushaf memenuhi ciri penulisan ‘rasm Uthmaniah’ diterima pakai di negara ini dan penulisan teks al-Quran dalam tulisan rumi adalah di­larang sama sekali.

“Kita akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti penjualan dan pengedaran al-Quran yang tidak diperakui melalui semakan Lajnah Tasheh al-Quran KDN,” ujarnya.

Nik Yusaimi berkata, antara kesalahan lazim ditemui ialah kesalahan pada ayat, tanda bacaan dan huruf yang boleh membawa maksud mengelirukan.

Katanya, KDN turut bekerja­sama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dalam memantau penyebaran al-Quran dan hadis secara digital.

“Orang ramai dinasihatkan tidak terlibat dengan aktiviti membeli, memiliki, menerbit atau menjual teks al-Quran yang tiada perakuan KDN,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN