BACHOK: Kawalan Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas 24,805 naskah bahan al-Quran tanpa tapisan yang dikesan melanggar Akta Pencetakan Teks al-Quran (APTQ) di seluruh negara dalam tempoh lapan bulan bermula Januari hingga Ogos lalu.
Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yussof berkata, rampasan bernilai lebih RM3.4 juta dilakukan menerusi 219 Op Mulia di pelbagai premis.
Menurutnya, hasil pemeriksaan yang dilakukan mendapati kesemua mushaf al-Quran itu tidak memiliki cop kebenaran dan hologram KDN.
“Lebih mengejutkan lagi 90 peratus mushaf itu mempunyai kesalahan selepas di semak Lajnah Tasheh al-Quran KDN. Kita (KDN) ada jawatankuasa tapisan dalam kalangan pakar yang mesti dirujuk oleh pencetak dan pengedar al-Quran.
“Daripada jumlah itu sebanyak 1,300 teks dan bahan al-Quran bernilai RM26,000 telah dirampas menerusi 15 siri pemantauan dan penguatkuasaan di negeri Kelantan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Hifz al-Quran: Wakaf Ibtida’ peringkat Kelantan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok, di sini hari ini.
Nik Yusaimi memberitahu, usaha yang digerakan itu bertujuan menyokong misi sifar al-Quran yang tidak memiliki perakuan KDN dan menyekat pengedaran mushaf tanpa tapisan serta memiliki kesilapan.
Katanya, sehingga kini terdapat 985 jenis cetakan al-Quran di pasaran yang memiliki perakuan KDN.
“Hanya mushaf memenuhi ciri penulisan ‘rasm Uthmaniah’ diterima pakai di negara ini dan penulisan teks al-Quran dalam tulisan rumi adalah dilarang sama sekali.
“Kita (penguat kuasa) akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang terlibat dengan aktiviti penjualan dan pengedaran al-Quran yang tidak diperakui melalui semakan Lajnah Tasheh al-Quran KDN,” ujarnya.
Nik Yusaimi berkata, antara kesalahan lazim ditemui ialah kesalahan pada ayat, tanda bacaan dan huruf yang boleh membawa maksud mengelirukan.
Katanya, KDN turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dalam memantau penyebaran al-Quran dan hadis secara digital.
“Orang ramai dinasihatkan tidak terlibat dengan aktiviti membeli, memiliki, menerbit atau menjual teks al-Quran yang tiada perakuan KDN,” katanya.-UTUSAN