PETALING JAYA: GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) masih belum menerima maklum balas Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mengadakan pertemuan susulan isu terkait dengan syarikat berkenaan eksploitasi kanak-kanak dan ajaran sesat.
Menurut wakil pengurusan GISBH, meskipun pihaknya sudah menghantar surat permohonan pada 1 September bagi mengadakan pertemuan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar untuk meminta pandangan dan nasihat, namun masih belum menerima sebarang maklum balas sehingga kini.
Justeru itu, katanya, GISBH masih menunggu jawapan pihak berkaitan bagi mengadakan pertemuan tersebut.
“Kami sebenarnya menunggu kedatangan Jakim. Apakah kami perlu mendahului untuk bertemu mereka?”
“Malah kami pada 1 September lagi sudah kirim surat memohon untuk berjumpa dengan Menteri Agama untuk mendapatkan pandangan dan nasihat. Namun sehingga hari ini, tiada respon,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, Jakim diarahkan mengadakan pertemuan dengan pihak GISBH susulan isu yang terkait dengan syarikat berkenaan berhubung eksploitasi kanak-kanak dan ajaran sesat.
Mohd. Na’im berkata, pertemuan itu bagi mendapatkan maklum balas serta penjelasan daripada pihak terbabit.
Pada masa sama, kata beliau, Jakim akan memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri dalam melakukan siasatan kepada isu yang dikaitkan dengan pihak tersebut.
Ia susulan pelbagai dakwaan terpalit dengan syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan ajaran sesat al-Arqam dan Rufaqa yang antaranya mengeksploitasi agama dan kanak-kanak untuk meminta derma serta menjalankan perniagaan. – UTUSAN









