KUALA LUMPUR: Penyanyi, Nourul Wahab Depp, 47, memberi amaran kepada semua pihak supaya tidak sewenang-wenangnya membuat tuduhan palsu berhubung rumah tangganya dengan suami, Erci Daniel Depp.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Nourul atau nama sebenarnya, Noorulhuda Abdul Wahab berkata, hubungannya dengan suami tidak pernah bermasalah sekali gus menepis dakwaan mereka bercerai.
“Kami tiada masalah pun. Hidup kami Alhamdulillah tidak berkelahi atau apa. Kalau bergaduh pun sesama suami isteri, biasalah, rumah tangga mana yang tidak ada gelora.
“Tetapi tidak adalah sampai bercerai. Suami saya pun bukan jenis lelaki kaki perempuan, pergi kelab malam atau buat perangai tidak elok.
“Berhentilah bercakap atau sebar fitnah kami ini sudah bercerai,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Kata Nourul, dia hairan mengapa isu perceraiannya timbul dan lebih menyedihkan fitnah tersebut datangnya daripada orang Melayu sendiri.
“Sampai ada yang sindir saya, itulah sebab kahwin dengan Mat Salleh dan sebagainya. Fitnah itu satu, lepas itu buat orang lain tokok tambah cerita tidak betul maka keadaan jadi lebih mengarut,” katanya.
Berikutan itu, kata Nourul, dia tetap untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Ya saya tahu, sebagai figura awam orang akan bercakap dan ambil tahu pasal kita. Tetapi saya tidak boleh beri muka pada mereka yang tabur fitnah.
“Saya dan suami sudah 14 tahun bersama, jadi siapa-siapa yang mahu lakukan bisnes dengan cara menjual cerita fitnah tentang saya, lebih baik lupakan,” katanya. – UTUSAN










