Isu MAS: Tiada pembatalan tempahan penerbangan

Isu MAS: Tiada pembatalan tempahan penerbangan

Pesawat Malaysia Airlines (MH79) dari Hong Kong ke Kuala Lumpur terpaksa dilencongkan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Ho Chi Minh City di Vietnam susulan berdepan masalah teknikal. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Beberapa masalah dihadapi syarikat pe­nerbangan negara Malaysia Airlines (MAS) seperti terpaksa berpatah balik setakat ini tidak menjejas tempahan atau pembalatan tempahan tiket.

Pengerusi Konsortium Malaysia Inbound Tourism Alliance, Uzaidi Udanis berkata, situasi yang menimpa MAS termasuk terdapat penerbangan dibatalkan tidak membimbangkan agensi pelancongan itu ke­rana syarikat-syarikat penerbangan lain melalui isu sama.

Sebaliknya, menurut beliau, agensi pelancongan bimbang jika berlaku wabak sekali lagi seperti Covid-19 sehingga menjejaskan keseluruhan sektor pelancongan.

“Tiada satu pun yang membatalkan tempahan penerba­ngan datang atau pergi dari Malaysia hanya kerana bimbang jika ada masalah lagi. Hal ini tidak menakutkan pelancong yang datang ke Malaysia.

“Saya faham ia memang berisiko, tetapi, tiada petanda mengatakan ramai tidak mahu melancong atau menaiki pesawat ini lagi. Lagi pun, sekarang pelanggan ramai dan jumlah kapal pula kurang.

“Mungkin hanya mainan persepsi terhadap syarikat penerbangan sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagaimanapun, kata Uzaidi, MAS mesti lebih proaktif dalam menyelesaikan isu tersebut supaya tidak berlaku masalah lebih buruk sehingga mencalar kredibilitinya sebagai syarikat utama penerbangan negara.

“Saya difahamkan syarikat kekurangan kakitangan dan jurutera, maka, MAS kena proaktif dalam hal ini. Pun begitu, soal penerbangan tangguh ini bukan MAS sahaja, bahkan syarikat penerbangan lain di seluruh dunia ada sahaja isu sama.

“Jadi, tidak boleh tumpu kepada kesilapan MAS sahaja,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif syarikat pengendali umrah dan haji, Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia), Datuk Md. Daud Che Ngah berkata, pihaknya belum menerima maklumat perinci jika ada dalam kalangan pe­langgannya yang membatalkan tempahan penerbangan.

“Saya belum lagi mendapat maklumat tentang perkara ini. Tetapi, pihak kami akan membuat semakan lanjut jika ada yang merancang membatalkan atau kekal dengan peranca­ngan sedia ada,” katanya.

Baru-baru ini, pesawat MH66 dari Kuala Lumpur ke Incheon, Korea Selatan yang menggunakan armada Airbus 330-300 dilaporkan berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) akibat mengalami masalah pada sistem hidraulik.

Pada 4 Ogos lalu, pesawat MH156 ke Jeddah berpatah balik ke KLIA berikutan masalah teknikal.

Pada 19 Ogos, penerbangan MH128 dari Melbourne ke Kuala Lumpur terpaksa dilencong ke Lapangan Terbang Alice Springs akibat masalah enjin.

Pada 24 Jun lalu, penerbangan MH780 ke Bangkok berpatah balik ke KLIA selepas me­ngalami masalah tekanan udara selain pesawat MH199 dari Hyderabad ke Kuala Lumpur pada 20 Jun terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Rajiv Gandhi susulan masalah enjin.

Rabu lalu, Wakil Pusat Pilihan Pengguna Malaysia (CCC), Tarmizi Anuwar berkata, beberapa siri insiden masalah teknikal melibatkan pesawat MAS dikhuatiri boleh menjejaskan imej negara khusus­nya sektor pelancongan dan pelaburan jika tidak ditangani segera.

Katanya, kerajaan dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) perlu tegas memastikan syarikat penerbangan itu mematuhi piawaian keselamatan yang ketat.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN