GAZA: Kementerian Kesihatan Gaza mendedahkan Israel enggan menyelaras kemasukan pasukan perubatan untuk melaksanakan pemberian vaksin polio di timur Khan Younis, selatan wilayah itu, hari ini.
Menurut kementerian, kawasan tersebut mempunyai sejumlah besar kumpulan sasaran kanak-kanak.
Justeru, kementerian merayu kepada institusi berkaitan untuk segera campur tangan bagi memastikan kejayaan kempen vaksinasi mencapai semua kanak-kanak di seluruh wilayah itu.
Pegawai perubatan, Dr Abdul Hadi Seyam berkata, fasa kedua kempen vaksinasi polio untuk kanak-kanak Palestin di selatan Gaza bermula hari ini.
“Kami memulakan fasa kedua kempen vaksinasi polio di bandar Khan Younis hari ini.
“Kempen ini menyasarkan kanak-kanak di bawah umur 10 tahun, dan terdapat minat daripada ibu bapa untuk memberikan anak mereka vaksin ini,” katanya kepada agensi berita Anadolu.
Beliau berkata, pasukan perubatan berusaha untuk memastikan pemberian vaksin sampai kepada seramai mungkin kanak-kanak di dalam wilayah konflik itu.
Lebih 189,000 kanak-kanak diberi vaksin dalam fasa pertama kempen di tengah Gaza.










