GAZA: Lebih setengah juta pelajar di Gaza melalui kehidupan tanpa pendidikan untuk dua tahun berturut-turut berikutan perang panjang Israel terhadap wilayah itu.
Menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), kira-kira 625,000 kanak-kanak di Gaza dinafikan hak untuk bersekolah sepanjang tahun lalu.
Serangan Israel sejak Oktober tahun lepas mengorbankan 40,700 rakyat Palestin, dengan 16,500 daripadanya adalah kanak-kanak.
Ribuan lagi kanak-kanak Gaza masih hilang, dipercayai tertimbus di bawah runtuhan, sementara lebih 12,000 yang lain cedera dan sekurang-kurangnya 1,000 daripada mereka hilang anggota badan.
Kanak-kanak Gaza tidak mempunyai tempat selamat untuk belajar atau tiada cara untuk mereka kembali menyambung pendidikan.
Kluster Pendidikan Global, yang diketuai UNICEF dan Save The Children, menganggarkan kira-kira 87.7 peratus daripada kemudahan sekolah di Gaza musnah setakat 30 Mac lalu.
Menurut kluster itu, serangan Israel memusnahkan 212 sekolah di kawasan tersebut dan menyebabkan kerosakan pada sebahagian 282 struktur sekolah.
Kira-kira 70 peratus daripada sekolah yang dikendalikan oleh Agensi Bantuan dan Kerja PBB (UNRWA) juga mengalami kerosakan.
Bagaimanapun, sejak Oktober, sekitar 95 peratus daripada sekolah ini dijadikan tempat perlindungan untuk keluarga yang kehilangan tempat tinggal.
POLA KEGANASAN SISTEMATIK
Serangan terhadap sekolah dianggap sebagai pelanggaran serius terhadap hak kanak-kanak dan dilarang di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Israel menafikan serangannya menyasarkan infrastruktur atau orang awam, sebaliknya menuduh kumpulan pejuang Hamas menggunakan sekolah dan hospital sebagai pusat ketenteraan serta penghuninya dijadikan perisai manusia.
Pakar PBB percaya, serangan Israel terhadap sekolah di Gaza bukan ‘kejadian terpencil’, tetapi sebahagian daripada pola keganasan sistematik yang bertujuan meruntuhkan asas masyarakat Palestin.
Pada Ogos sahaja, terdapat serangan terhadap lapan sekolah di Bandar Gaza, mengorbankan lebih 179 rakyat Palestin dan mengakibatkan kerosakan ketara.
Serangan paling dahsyat berlaku di Sekolah Al-Tabin pada 10 Ogos lepas, apabila bom kecil berdiameter GBU-39 buatan Amerika Syarikat (AS) digunakan dalam serangan itu.
Lebih 100 rakyat Palestin terbunuh daripada kira-kira 2,400 penduduk yang berlindung di sekolah berkenaan.
RENCAT USAHA PENDIDIKAN
Untuk memberikan kanak-kanak Gaza merasai sedikit kehidupan normal dan berehat daripada dunia ngeri konflik, UNICEF dan rakan kongsi di wilayah Palestin mendirikan 48 khemah pembelajaran di Khan Younis, Kawasan Tengah, Bandar Gaza dan Gaza Utara.
Ruang sementara ini menyediakan aktiviti pembelajaran tidak formal dan sokongan kesihatan mental kepada kira-kira 15,000 kanak-kanak sekolah pada bulan Julai.
Walaupun terdapat inisiatif organisasi kemanusiaan menawarkan peluang pendidikan sementara kepada kanak-kanak Gaza, masih wujud beberapa faktor yang boleh merencatkan usaha berkenaan.
Selagi tiada gencatan senjata kekal, berlaku perpindahan berulang, kemusnahan infrastruktur, akses terhad kepada makanan, air bersih dan penjagaan akan menghalang kemampuan mereka untuk berkembang secara normal.
Jun lalu, Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus menekankan, lebih 8,000 kanak-kanak di wilayah konflik itu didiagnosis dengan kekurangan zat makanan akut.
Beliau memberi amaran sebahagian besar penduduk Gaza kini menghadapi bencana kebuluran.
Lebih daripada 34 orang, sekurang-kurangnya 28 daripada mereka adalah kanak-kanak, meninggal dunia akibat kekurangan zat makanan yang teruk.
Masyarakat antarabangsa menuduh kerajaan Israel menggunakan kebuluran penduduk awam sebagai senjata perang.
Sekurang-kurangnya 1.9 juta daripada 2.2 juta penduduk di Gaza kehilangan tempat tinggal dan terpaksa berpindah banyak kali dari zon selamat ke zon yang lain.
Keadaan itu menyebabkan kanak-kanak di wilayah tersebut kehilangan kestabilan yang diperlukan untuk pendidikan.










