TEHERAN: Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi menyifatkan sekatan terbaharu Barat terhadap Teheran gagal memberikan sebarang kesan selepas negaranya didakwa membekalkan senjata kepada Russia.
Abbas berkata, negara Barat masih tidak tahu bahawa sekatan adalah ‘alat yang gagal’ untuk menekan Iran, lapor agensi berita rasmi IRNA.
Beliau berkata, sekatan adalah kaedah untuk menekan serta boleh mendatangkan konfrontasi dan tidak boleh menyelesaikan masalah.
Menurut Abbas, Iran sentiasa terbuka untuk rundingan dan dialog dengan negara-negara lain, namun ia harus dibuat berdasarkan prinsip saling menghormati, bukan dengan ancaman dan tekanan.
Selasa lalu, Britain, Perancis dan Jerman mengenakan sekatan terbaharu yang menyasarkan pengangkutan udara Iran apabila menuduh Teheran menghantar peluru berpandu balistik ke Russia untuk digunakan dalam perang Ukraine.
Iran berulang kali menafikan perkara itu.
Britain memanggil wakil Iran di London pada hari Rabu dan memberi amaran bahawa kerajaan Iran akan menghadapi tindakan susulan, jika terus membekalkan peluru berpandu kepada Russia untuk digunakan di Ukraine.
Amerika Syarikat (AS) juga memperketatkan sekatan terhadap Iran termasuk membabitkan syarikat penerbangan nasional Iran Air dipercayai kerana mengangkut senjata berkenaan ke Moscow.
Khamis lalu, Kementerian Luar Iran memanggil empat duta Eropah untuk membantah sekatan tersebut.- AGENSI










