JOHOR BAHRU: Seorang wanita warga emas dan anak perempuannya antara lima individu yang ditahan dalam tiga serbuan berasingan kerana disyaki memproses dan mengedar dadah di sekitar bandar raya ini, minggu lalu.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS), Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, dalam serbuan itu, pihaknya merampas pelbagai jenis dadah lebih 4.9 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM157,964.
“Polis menahan tiga suspek, ibu dan anak perempuan serta teman lelakinya di sebuah pangsapuri di Taman Pelangi, di sini serta merampas sejumlah dadah dan senjata api palsu berserta peluru kapur. Hasil soal siasat membawa kepada penahanan dua suspek lelaki warga tempatan, termasuk dalang sindiket di sebuah pangsapuri berpagar dan berpengawal pada hari sama yang turut menemukan sejumlah dadah.
“Modus operandi sindiket ini adalah menjadikan pangsapuri yang disewa sebagai tempat pembungkusan dan penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) JBS, di sini hari ini.
Dalam serbuan itu, polis merampas 4.9 kg syabu (RM157,600), 2.80 gram (g) ganja (RM84) dan 1.4 g ketamin (RM280) serta sepucuk senjata api palsu dengan 33 butir peluru kapur, dua buah kereta dan wang tunai berjumlah RM1,385.
Raub berkata, dadah yang diperoleh akan dipaketkan dalam kuantiti kecil untuk pasaran tempatan dengan harga jualan RM120 hingga RM200 sepeket.
“Hasil siasatan awal mendapati suspek membeli senjata api palsu itu secara dalam talian dan tidak menolak kemungkinan untuk tujuan pemerasan. Wanita warga emas itu dan anak perempuannya dipercayai ahli sindiket tersebut yang aktif sejak Julai lalu,” katanya sambil memberitahu ujian air kencing mendapati tiga suspek lelaki dan seorang wanita positif dadah jenis methamphetamine.
Semakan rekod jenayah lampau mendapati kesemua suspek berumur antara 37 hingga 69 tahun mempunyai 47 rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah.
“Pihak Polis masih menyiasat sumber bekalan dadah itu diperoleh. Kesemua suspek direman hingga 9 September ini di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1957 dan Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960,” katanya. – UTUSAN