PETALING JAYA: Malaysia menghargai sumbangan konstruktif kuasa-kuasa besar seperti China dan Amerika Syarikat (AS) serta rakan-rakan ASEAN dalam menjayakan rundingan antara Thailand dan Kemboja.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ASEAN perlu terus kekal bersatu, berprinsip dan berpaksikan dialog dalam mendepani cabaran serantau dan global.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mengadakan perbincangan bersama Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. menerusi panggilan telefon semalam.
Perbincangan antara beliau dengan Presiden Filipina itu malam semalam menyentuh perkembangan semasa di rantau ini.
Selain itu, ia berkaitan dengan lawatan Presiden Filipina itu ke AS serta peranan penting ASEAN dalam memperkukuh kerjasama serantau.
“Kami turut membincangkan usaha perdamaian antara Kemboja dan Thailand yang semakin menampakkan hasil meskipun terdapat beberapa insiden yang mencabar proses tersebut.
“Malaysia menghargai sumbangan konstruktif kuasa-kuasa besar seperti China dan Amerika Syarikat serta rakan-rakan ASEAN dalam menjayakan rundingan ini.
“ASEAN perlu terus kekal bersatu, berprinsip dan berpaksikan dialog dalam mendepani tantangan serantau dan global,” katanya.
Sementara itu, Pakar Geostrategis, Azmi Hassan berkata, pendekatan berkecuali dan diplomatik yang diamalkan Malaysia membolehkan negara ini terus memainkan peranan penting dalam isu serantau tanpa terikat dengan tekanan kuasa besar seperti AS dan China.
Katanya, strategi Malaysia yang memilih menjadi pemudah cara tanpa menyisihkan mana-mana kuasa luar memberi kelebihan dalam menangani konflik, termasuk ketegangan antara Thailand dan Kemboja baru-baru ini.
“Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN bertindak awal mengatur rundingan dengan kedua-dua negara.
“Dalam masa sama, kita tidak menolak penglibatan AS atau China, sebaliknya menjemput mereka sebagai pemerhati. Pendekatan ini membolehkan ASEAN kekal mengawal proses rundingan tanpa menyinggung kuasa besar,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Azmi berkata, pendekatan negara telah membina kepercayaan dan mengelakkan tekanan geopolitik, memandangkan kedua-dua kuasa besar turut mempunyai kepentingan di Asia Tenggara.
Tambahnya, pengalaman Malaysia sebagai pemudah cara dalam konflik seperti di Aceh, Bangsamoro dan selatan Thailand menjadikan negara ini dihormati sebagai pihak berkecuali yang berwibawa.
“Malaysia tidak asing dalam peranan ini. Justeru, keterlibatan kita dalam isu-isu serantau bukan perkara baharu dan tidak menggugat mana-mana kuasa luar.
“Sebaliknya, ia membuktikan kita mampu mengurus hubungan diplomatik dengan seimbang serta menjalin kerjasama dengan semua pihak tanpa tunduk kepada tekanan,” katanya. – UTUSAN










