PETALING JAYA: Pencemaran dan aktiviti manusia di perairan negara menyebabkan hasil laut terutama ikan terus merosot sehingga 50 peratus dalam tempoh enam dekad lalu.
Punca utama penyusutan mendadak stok hasil laut dikesan bermula pada tahun 1960-an apabila nelayan menggunakan pukat tunda yang mengakibatkan kerosakan kepada habitat akuatik dan benih ikan dan batu karang.
Sejak itu semua perairan negara di Pantai Barat Semenanjung (Selat Melaka), Pantai Timur Semenanjung (Laut China Selatan) dan pantai di Sabah Barat dan Labuan terjejas.
Lebih memberi kesan apabila tabiat manusia membuang sisa plastik sehingga tidak terkawal ke laut, pelepasan sisa industri dan air buangan daripada aktiviti pertanian yang memasuki laut berterusan menjejaskan hidupan marin.
Gabungan semua faktor-faktor tersebut terus mencemarkan persekitaran marin sekali gus membahayakan populasi ikan, menjejaskan kualiti makanan laut dan mengganggu keseimbangan keseluruhan ekosistem akuatik.
Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Datuk Adnan Hussain berkata, kebanyakan ikan demersal merupakan sumber protein bernilai tinggi seperti ikan kerapu, jenahak, ikan merah dan pari.
Katanya, pelbagai faktor lain menyumbang kepada penyusutan stok ikan demersal di perairan negara termasuklah pencerobohan kapal nelayan asing yang mengakibatkan ketirisan berjumlah RM823.88 juta sepanjang tahun 2020 hingga 2023.
“Perubahan iklim dunia menyebabkan suhu laut meningkat dan seterusnya mempengaruhi taburan spesies-spesies ikan tertentu. Ikan jenis pelagik (seperti kembung, pelaling, selar dan lain-lain lagi) yang paling terjejas kerana suhu permukaan laut dijangka meningkat dengan ketara di samping menjejaskan produktiviti primer laut.
“Ada kajian menjangkakan suhu permukaan laut global akan meningkat sehingga 2.7 darjah celsius dalam tempoh satu abad (jika hanya sedikit langkah mitigasi) manakala produktiviti laut akan berkurangan sebanyak 6 peratus.
“Kenaikan suhu sebanyak 2.7 darjah celsius (iaitu dengan sedikit langkah mitigasi) akan menyebabkan potensi tangkapan ikan Malaysia berkurangan sebanyak 11 peratus pada tahun 2050 berbanding data tahun 2000 dan seterusnya 14 peratus menjelang tahun 2100,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Berdasarkan Laporan Kajian Sumber Demersal yang dimuat naik di laman sesawang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor perikanan komersial di negara bermula pada tahun 1960-an dengan stok demersal ketika itu berada pada tahap 2,000 kilogram bagi setiap kilometer persegi.
Bagaimanapun, kajian lanjut pada tahun 1980-an mendapati stok perikanan tersebut menyusut kepada 500 kilogram bagi setiap kilometer persegi dan terbaharu, pada tahun 2010 stok sumber berkenaan berkurangan kepada kurang daripada 200 kilogram bagi setiap kilometer persegi. – UTUSAN










