Haiti tubuh majlis pilihan raya sementara

Haiti tubuh majlis pilihan raya sementara

HAITI dijadualkan mengadakan pilihan raya menjelang 2026, sedekad selepas kali terakhir diadakan pada 2016.- AGENSI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PORT-AU PRINCE: Kerajaan Haiti mengumumkan penubuhan sebuah majlis pilihan raya sementara, semalam.

Ia adalah langkah pertama untuk memulihkan proses pilihan raya selepas kemelut politik dan keganasan yang menggagalkan percubaan sebelum ini.

Menurut pejabat Perdana Menteri, majlis yang ditubuhkan pada Rabu sudah mempunyai wakil bagi tujuh kerusi mewakili kumpulan agama, wartawan, petani dan kesatuan.

Dua lagi kerusi, untuk organisasi hak asasi manusia dan hak wanita, masih belum mempunyai wakil, kata pejabat itu di X.

Majlis tersebut akan bertanggungjawab menetapkan rangka kerja undang-undang untuk mengadakan pilihan raya dan seterusnya merancang pelaksanaannya.

Negara Caribbean itu dijadualkan mengadakan pilihan raya menjelang 2026, satu dekad selepas kali terakhir diadakan pada 2016.

Kebiasaannya, pilihan raya sepatutnya diadakan setiap lima tahun, tetapi kemelut politik di Haiti diburukkan lagi oleh kekosongan kuasa yang disebabkan oleh pembunuhan Presiden Jovenel Moise pada 2021.

Kumpulan bersenjata juga meluaskan kawalan mereka ke sekitar 80 peratus ibu negara Port-au-Prince dan kebanyakan kawasan lain di negara itu.

Majlis presiden peralihan Haitu – sebuah badan berasingan yang bertindak sebagai kerajaan sejak ia ditubuhkan pada April – menubuhkan majlis pilihan raya dalam satu mesyuarat.

Mandat majlis presiden itu akan tamat pada Februari 2026, apabila pilihan raya mesti diadakan.

Majlis pilihan raya sebelum ini dibubarkan pada 2021 di bawah Perdana Menteri, Ariel Henry, yang mengambil alih jawatan selepas kematian Moise, tetapi dipecat pada awal tahun ini.- REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN