GISBH disyaki terlibat jenayah terancang

GISBH disyaki terlibat jenayah terancang

RAZARUDIN HUSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis tidak menolak kemungkinan siasatan membabitkan kes eksploitasi kanak-kanak di 20 rumah amal di bawah syarikat Global Ikhwan Service and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) turut menjurus kepada jenayah terancang. 

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, bagaimanapun pada peringkat ini, pihaknya masih menumpu kan kertas siasatan yang dibuka pada fasa pertama dan kedua siasatan Op Global. 

“Ya, siasatan kita (polis) juga menjurus ke arah itu,” katanya dalam sidang akhbar di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini, semalam. 

Mengulas lanjut, katanya, berdasarkan siasatan awal terdapat struktur organisasi yang jelas dalam operasi rumah amal berkenaan. 

“Siasatan awal mendapati rumah amal di bawah syarikat ini akan diuruskan oleh pengu rus untuk menyelia beberapa rumah bagi setiap zon.

“Semakan kami mendapati  yang mengendalikan kanak-kanak ini adalah abang atau kakak mereka yang berusia antara 17 hingga 20 tahun,” jelasnya.

Beliau menambah, kanak-kanak berkenaan juga akan dipindahkan dari satu rumah amal ke lokasi penempatan lain dari semasa ke semasa.

Katanya, setakat ini pengurusan tertinggi GISBH masih belum diambil keterangan bagi membantu siasatan.

Namun katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengeluarkan perintah lara­ngan kepada mereka daripada meninggalkan negara.

Pada 11 September lalu, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia satu hingga 17 tahun diselamatkan dari 20 rumah amal di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

Mangsa terdiri daripada 201 kanak-kanak serta remaja lelaki dan 201 perempuan yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan peng­aniayaan.

Sementara itu, kira-kira 96 akaun bank dan pelbagai aset membabitkan GISBH bernilai lebih setengah juta ringgit dibekukan PDRM.

Razarudin berkata, seba­nyak empat akaun turut ditutup dan pelbagai kenderaan disita bagi membantu siasatan kes eks­ploitasi kanak-kanak yang dijalankan ketika ini.

“Sehingga kini, sebanyak 96 akaun membabitkan GISBH berjumlah RM581,552.31 dibekukan mengikut Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

“Sebanyak empat akaun ditutup dan lapan kenderaan turut dikeluarkan perintah pembekuan,” katanya.

Beliau turut mengesahkan tiga kertas siasatan berkaitan GISBH dihantar ke Jabatan Peguam Negara (AGC).

Kertas siasatan itu membabitkan Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Kertas siasatan itu adalah berkaitan serangan seksual fizikal terhadap kanak-kanak dan penggunaan kekerasan jenayah terhadap seseorang dengan niat untuk mencabul kehormatan. 

“Tiga kertas siasatan ini meli­batkan kesalahan yang ditemukan susulan siasatan fasa pertama Op Global di Nege­ri Sembilan,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu, keba­nyakan ibu bapa melibatkan 392 kanak-kanak yang dise­lamatkan dari 20 rumah amal di bawah GISBH telah dikenal pasti.

Bagaimanapun, kesemua individu terbabit masih belum tampil untuk diambil ketera­ngan.

Beliau berkata, alasan diberikan tidak mengetahui anak mereka telah dise­lamatkan dari rumah amal yang diserbu.

Selain itu, ada juga ibu bapa tidak mengakui anak masing-masing memandangkan pihak pengurusan GISBH mendakwa mereka adalah anak yatim.

“Siasatan juga mendapati sebahagian kanak-kanak ini telah pun ‘dibinkan’ dengan Abdullah yang mana mereka tidak mengetahui status kanak-kanak berkenaan sama ada anak mereka atau tidak,” katanya.

Sementara itu, polis mengesahkan turut menerima dua laporan berhubung kes pende­raan kanak-kanak dipercayai dilakukan ahli GISBH.

Laporan dibuat oleh bapa kanak-kanak terbabit di Kluang, Johor, kelmarin.

Menurut Razarudin, laporan dibuat selepas siasatan awal mengesan dua video tular berkait penderaan anaknya yang disebarkan menerusi media sosial sebelum dikongsikan oleh masyarakat.

“Dua kertas siasatan dibuka dan diklasifikasikan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya.

Beliau menambah, seorang penjaga rumah amal terbabit yang disyaki mendera penghuni di situ adalah antara 171 kakitangan ditahan dalam Op Global pada 11 September lalu.

“Suspek mengaku dia yang buat (mendera), tetapi kita sedang cuba kenal pasti sama ada mangsa ada dalam kalangan yang diselamatkan atau masih ada di luar,” kata­nya.

Dalam pada itu, hanya dua daripada 20 rumah amal yang diserbu menerusi Op Global didapati berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Ini adalah satu kesalahan juga kerana perlu ada kelulusan daripada pihak JKM untuk mengoperasikan sebuah rumah amal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN