Generasi Z tidak tahan tekanan kerja

Generasi Z tidak tahan tekanan kerja

GENERASI Z dikatakan mudah bertukar kerja bagi mencari peluang baharu. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 64 pe­ra­tus daripada tujuh juta pe­ker­ja Generasi Z (Gen Z) tidak mam­pu menghadapi tekanan be­ker­ja sehingga mengalami ke­le­tihan melampau (burnout) se­ka­li gus menyebabkan golongan ter­sebut sering bertukar tempat kerja.

Situasi itu secara tidak langsung menyebabkan banyak sektor pekerjaan kekurangan tenaga kerja, sekali gus mencetuskan kelembapan industri.

Pakar Psikologi, Prof. Datin Dr. Mariani Md. Nor berkata, sifat tiada daya saing menjadi antara faktor utama mengapa golongan tersebut mudah mengalami keletihan melampau dan akhirnya memilih untuk menutup ruang kepada pencapaian yang lebih baik.

“Gen Z perlu berdaya saing dan mempunyai daya ketahanan yang kuat agar dapat menghadapi cabaran sebenar dunia luar.

“Burnout atau keletihan melampau itu memang akan dirasai semua orang, cumanya pada kadar yang boleh diatasi atau tidak bergantung kepada individu terlibat.

“Golongan muda ketika ini paling mudah untuk adaptasi dengan kecanggihan teknologi semasa, sepatutnya mereka gunakan kemudahan itu untuk bekerja secara lebih berhemah jika mahu dibandingkan dengan zaman dahulu yang semuanya perlu dilakukan sendiri.

“Jika Gen Z mempunyai daya ketahanan yang tinggi, ia secara tidak langsung akan melatih mereka mengenai kemahiran berfikir dengan segala rasional,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut laporan Business Insider 2023, pekerja Gen Z akan menukar kerjaya sekurang-kurangnya tiga kali sepanjang fasa pekerjaan dan hampir dua pertiga akan meninggalkan majikan semasa dalam tempoh dua tahun akan datang.

Namun, menurut Laporan Wellness at Work 2024, gene­rasi Milenial adalah generasi paling teruk terjejas dengan 69 peratus mengalami keletihan, diikuti Gen Z pada 64 peratus.

Golongan Gen Z adalah mereka yang dilahirkan antara Januari 1995 dan Disember 2003, manakala Milenial adalah kumpulan yang lahir antara Januari 1983 dan Disember 1994.

Tambah Dr. Mariani, Gen Z yang tidak mempunyai daya tahan yang kuat dalam fizikal dan mental akan menyebabkan mereka sering bertukar tempat bekerja.

Katanya, memang tidak dapat dinafikan faktor gaji mempengaruhi pemilihan sesuatu bidang pekerjaan itu, namun masih ada yang bertukar tempat kerja kerana tidak mampu berdepan dengan tekanan kerja yang dihadapi.

Katanya, golongan tersebut akan berterusan menghadapi keletihan melampau jika tidak mengatasinya dari awal.

“Selagi tidak diatasi, tidak kira ke mana sahaja mereka bekerja, pasti akan mengalami masalah yang sama (burnout). Maka, adalah penting untuk mencari jalan penyelesaian kepada tekanan yang dihadapi selain memerlukan sistem sokongan yang baik daripada keluarga dan rakan-rakan,” katanya.

Mengenai dakwaan Gen Z bersikap ‘manja’ dan tidak boleh ditegur ketika bekerja, beliau berkata, keperibadian selalunya bermula dengan didikan ibu bapa dan pengaruh keadaan sekeliling.

“Sikap segelintir ibu bapa yang mungkin terlalu memanjakan anak-anak mereka boleh menjadi punca kepada golongan muda hari ini bersikap cepat melatah apabila ditegur dan tidak tahan tekanan.

“Jadi, kita tidak boleh simpulkan mana-mana generasi bersikap manja atau sebagainya kerana ia bergantung kepada cara didikan dan pengaruh sekitar,” ujarnya.

Dalam pada itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, Gen Z membesar dengan pelbagai pilihan, terutamanya teknologi yang membolehkan mereka akses kepada banyak maklumat.

Menurutnya, golongan itu lebih mudah menghadapi tekanan sekiranya bekerja di tempat yang tidak memenuhi keperluan mereka.

“Gen Z sering berdepan dengan tekanan akibat tuntutan kerja yang tinggi, ekspektasi untuk mengimbangi kehidupan dan kerja, kekurangan pengalaman serta ketidakpastian ekonomi.

“Persekitaran kerja yang berdaya saing, budaya kerja yang tidak fleksibel dan kurangnya peluang perkembangan turut menjadi faktor penyumbang kepada tekanan ini,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN