DHAKA: Kumpulan etnik minoriti di kawasan berbukit selatan Bangladesh, hidup dalam ketakutan selepas pertempuran yang mengorbankan empat nyawa dan mencederakan puluhan yang lain.
Kekacauan antara puak yang berpunca daripada pembunuhan seorang lelaki Bengali Rabu lalu, menyebabkan etnik berkenaan terpaksa berpindah setelah rumah dan kedai mereka dibakar di Bukit Chittagong yang bersempadan dengan Myanmar dan timur laut India.
Sebagai reaksi kepada kejadian itu, sekumpulan pelajar melakukan sekatan jalan raya dan menyekat laluan air selama 72 jam di tiga daerah berbukit iaitu Khagrachhari, Rangamati dan Bandarban, yang menjadi kediaman beberapa puak pribumi.
Penunjuk perasaan menuntut tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab atas ketegangan yang meningkat, yang membawa kepada kematian sekurang-kurangnya empat lelaki dari etnik minoriti.
Walaupun terdapat kehadiran ketenteraan, polis, dan pasukan Pengawal Sempadan Bangladesh, penduduk masih berada dalam keadaan berjaga-jaga.
“Keadaan kini tegang. Polis dan pasukan keselamatan sedang menjalankan rondaan bersama,” kata Timbalan Pengarah Inspektor, Ahsan Habib di Chittagong.
Katanya, pembunuhan lelaki Bengali itu mencetuskan serangaan balas terhadap komuniti etnik minoriti.
Menurut saksi puluhan rumah dan kedai terutamanya milik minoriti Buddha, dibakar atau dimusnahkan.
Sebagai tindak balas, pihak berkuasa tempatan menguatkuasakan Seksyen 144 bagi membolehkan perintah berkurung dilaksanakan di Khagrachhari dan Rangamati.– AGENSI










