JOHOR BAHRU: Seorang pegawai dan tiga anggota polis yang bertugas di Ibu pejabat Polis Daerah Seri Alam, di sini ditahan minggu lalu kerana disyaki memeras ugut wang sebanyak RM45,000 daripada dua ahli perniagaan.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, keempat-empat mereka kini disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan.
“Berkenaan laporan dakwaan memeras ugut, kita telah tangkap keempat-empat suspek untuk siasatan lanjut. Bukti-bukti sedang dikumpul dan apabila siasatan lengkap, kita akan serah kepada Pejabat pendakwa raya.
“Pada waktu ini mereka telah diberi jaminan polis dan masih bertugas di unit tidak aktif. Kita jamin siasatan menyeluruh akan dibuat dan tindakan tegas akan diambil,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Kumar berkata, kesemua pegawai dan anggota tersebut tidak mempunyai sebarang rekod masalah disiplin sebelum ini.
Terdahulu, tular dalam media sosial satu laporan polis dibuat mangsa yang mendakwa pada Selasa lalu, dia dan rakannya didatangi dua lelaki mengaku sebagai anggota polis dan telah membawa mereka ke IPD Seri Alam.
Setibanya di sana, mereka dibawa masuk ke dalam sebuah bilik dan diperkenalkan dengan dua lagi anggota polis yang mendakwa mangsa dan rakannya terlibat dengan sindiket penipuan dan pemerdagangan manusia.
Dua ahli perniagaan berkenaan kemudian diminta memberi wang sebanyak RM150,000 untuk membantu menyelesaikan kes berkenaan, namun mangsa hanya mampu memberikan RM45,000.
Mangsa kemudian membuat laporan polis berkaitan perkara itu keesokan harinya di Ibu pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan. – UTUSAN










