Darjah kebesaran ditarik jika terlibat jenayah – Agong

Darjah kebesaran ditarik jika terlibat jenayah – Agong

SULTAN Ibrahim berkenan memakaikan selempang dan mengurniakan Darjah Panglima Mangku Negara membawa gelaran Tan Sri kepada Shamsul Azri Abu Bakar di Istana Negara, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penerima Darjah kebesaran, bintang dan pingat Persekutuan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim akan ditarik balik sekiranya mereka terlibat dengan jenayah.

Seri Paduka bertitah, ramai pihak menaruh harapan dan berusaha untuk mendapatkan darjah kebesaran dan terpe­daya serta ditipu oleh ejen-ejen yang mengambil kesempatan, malah ada yang melobi untuk mendapatkan darjah Datuk dan Tan Sri.

“Kenapa saya nak melayan semua ini? Suka saya nyatakan di sini, bahawa setiap pencalonan yang dibawa oleh kerajaan akan teliti satu per satu. Pertimbangan dibuat kepada calon yang betul-betul layak, yang telah berkhidmat dan berjasa kepada kerajaan, masyarakat serta negara.

“Justeru, saya telah bersetuju untuk mengurniakan darjah kebesaran, bintang dan pingat Persekutuan kepada 116 orang sahaja. Pesanan saya kepada semua penerima untuk sentiasa jujur dan amanah kepada pemerintah, jaga tingkah laku dan jangan libatkan dengan rasuah atau kesalahan.

“Sekiranya ada penerima yang mencemarkan nama negara atau melakukan jenayah dan dihukum oleh mahkamah, maka segala darjah dan pingat kebesaran akan ditarik balik,” titah baginda.

Sultan Ibrahim turut me­ngarahkan semua penjara menyemak mana-mana banduan yang mempunyai darjah dan pingat kebesaran untuk ditarik balik.

“Sehubungan itu, saya te­lah arahkan kerajaan untuk menye­mak senarai banduan di semua penjara dan mana-mana banduan darjah kebesaran, maka ia ditarik balik.

“Hal ini hanyalah untuk darjah Persekutuan dan Wilayah Persekutuan. Darjah kebesaran negeri lain saya tidak masuk campur,” titah Seri Paduka.

Terdahulu, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke Balairong Seri, Istana Negara bersempena Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan 2024 sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi baginda.

Sebelum itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menyampaikan ucapan tahniah kepada Seri Paduka pada Istiadat Menghadap dan Sembah Ucapan Tahniah. – MINGGUAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN