PONTIAN: Ibarat hamparan permaidani. Itulah ungkapan yang sesuai menggambarkan keadaan Sungai Sanglang di Kampung Parit Lancang, dekat sini yang dipenuhi rumput-rampai sehingga menjadi punca berlakunya banjir termenung.
Penduduk mendakwa pihak yang berkenaan gagal menyelenggara dan membersihkan sungai tersebut mengikut masa yang sepatutnya bagi mengelakkan berlakunya perkara itu.
Seorang penduduk, Mohd. Shahrizal Tukimon, 34, berkata, kelewatan kerja-kerja pembersihan Sungai Sanglang menyebabkan rumah penduduk yang terletak berhampiran menerima kesan apabila hujan lebat, iaitu menyebabkan banjir termenung.
Katanya, banjir termenung itu seolah-olah tiada jalan penyelesaian dan memerlukan tindakan jangka panjang bagi memastikan aliran air segera keluar dari kawasan rumah penduduk.
“Sudah lama penduduk Jalan Parit Keliling, Kampung Parit Lancang ini memendam rasa dan terganggu dengan isu banjir termenung sehingga tiga hingga empat hari baru air mula surut, tetapi jika hujan berlaku semula, air naik kembali. Harap pihak kerajaan dapat mencari jalan penyelesaian bagi mengatasi isu ini yang berlaku pada setiap tahun apabila hujan lebat dalam tempoh beberapa jam sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mohd. Shahrizal berkata, penduduk yang memiliki kebun kelapa sawit juga sukar memetik buah jika kebun mereka masih digenangi air.
Seorang pengusaha bengkel kereta, Mohd. Fakhrurazi Mashari, 33, pula bersedia menaikkan semua peralatan ke tempat lebih tinggi apabila hujan lebat dalam tempoh lama.
Katanya, sistem perparitan di hadapan rumahnya gagal berfungsi baik menyebabkan berlakunya limpahan sehingga sampai ke bengkelnya.
“Saya terpaksa menolak tempahan yang diterima daripada pelanggan kerana bimbang tidak mampu siap mengikut tempoh ditetapkan kerana kawasan bengkel masih digenangi air. Kerja-kerja membaiki kenderaan ini merupakan pendapatan utama setelah meninggalkan kerja makan gaji dengan sebuah bengkel di bandar Pontian selepas tamat latihan di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pulai Sebatang pada 2010,” ujarnya.
Dia seperti penduduk yang lain berharap pihak berkenaan melakukan sesuatu bagi membantu mereka yang terkesan disebabkan banjir termenung. – UTUSAN










