MACHANG: Sebanyak 40 ekor beruk mempamerkan ketangkasan masing-masing pada pertandingan memetik buah kepala di Gelanggang Seni Kampung Kemunchup, di sini semalam.
Bercakap kepada Utusan Malaysia Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Mukim Kemunchup, Mohd. Nawai Shayal berkata, menerusi pertandingan itu beruk-beruk terlibat perlu memperagakan ketangkasan memulas kelapa yang digantung pada palang.
“Selain itu, pertandingan ini turut menyaksikan ketekunan pemilik beruk dalam industri pertanian iaitu membekalkan kelapa selain mengasuh mamalia tersebut menjadi tenaga pakar untuk menurunkan kelapa.
“Hari ini (semalam), kita turut mendapat penyertaan daripada pemilik beruk di Pahang,” katanya ketika ditemui di sini semalam.
Mohd. Nawai berkata, pertandingan itu disifatkan unik kerana penduduk Kampung Kemunchup belum pernah menyaksikan pertandingan tersebut.
Katanya, beliau bercadang menjadikan program itu sebagai acara tahunan.
“Pertandingan beruk memulas kelapa ini sebagai pelengkap kepada Program Titih Angin
Sebangsal Baka yang turut diisi dengan persembahan dikir barat, main puteri dan persembahan budaya masyarakat Orang Asli dari Gua Musang,” katanya. – UTUSAN










