KANO, Nigeria: Sekurang-kurangnya 25 kanak-kanak meninggal dunia selepas sebuah bas yang dinaiki mereka untuk meraikan sambutan Maulidur Rasul terlibat dalam kemalangan di negeri Kaduna, utara Nigeria.
Menurut laporan AFP, penganjur majlis mendedahkan jumlah korban lebih tinggi iaitu 40 orang, dengan 31 yang lain cedera.
Ketua agensi keselamatan jalan raya Nigeria (FRSC), Kabiru Ndabo berkata, kemalangan berlaku pada Ahad apabila bas yang membawa jemaah Sufi Tijjaniyya hilang kawalan dan merempuh sebuah trak di daerah Lere.
“Bas itu membawa 63 kanak-kanak dan pemandu memandu melebihi had laju dan secara melulu sebelum hilang kawalan serta merempuh sebuah trak.
“15 daripada mereka maut di tempat kejadian, manakala 48 lagi cedera dan kini menerima rawatan di beberapa hospital, namun 10 daripadanya meninggal dunia pada hari berikutnya menjadikan jumlah korban kepada 25,” katanya.
Nadabo berkata, rombongan kanak-kanak itu berasal dari kampung Kwandare dan menuju ke bandar Saminaka berdekatan, untuk menyambut Maulidur Rasul.
Beliau berkata, angka kematian mungkin berubah sejak mangsa cedera dibawa ke hospital di pelbagai lokasi dan belum mendapatkan maklumat terkini mereka.
Kemalangan jalan raya adalah perkara biasa di Nigeria berikutan keadaan infrastruktur yang tidak diselenggara dengan baik dan sikap sebahagian besar pemandu yang mengabaikan peraturan lalu lintas.










