MANILA : Kira-kira 2,600 rangkaian Wi-Fi percuma terputus di seluruh negara berikutan kegagalan kerajaan menjelaskan bayaran kepada kontraktor, menurut Jabatan Penerangan dan Komunikasi Filipina (DICT), semalam.
Jabatan itu berkata, pihaknya kini menuntut Kongres meluluskan peruntukan bernilai 9 bilion peso (RM704.4 juta) bagi memulihkan rangkaian yang terjejas serta memperluaskan kemudahan tersebut, lapor akhbar, Daily Inquirer.
Setiausaha Komunikasi DICT, Ivan John Uy berkata, gangguan bekalan internet melibatkan 20 peratus daripada keseluruhan 13,000 rangkaian percuma itu berlaku selepas pihaknya tidak mempunyai dana yang cukup untuk memperbaharui kontrak dengan kontraktor terlibat.
Jelas beliau, pihaknya telah meminta dana daripada kerajaan sejak Disember lalu, namun belum menerimanya sehingga kini.
“Rangkaian percuma yang terjejas mungkin tidak akan pulih selama 60 hari kerana kami perlu mencari kontraktor baharu memandangkan tempoh konsesi sedia ada akan berakhir.
“Jika kita lambat menerima peruntukan, kita terpaksa membuka semula bidaan untuk mencari kontraktor baharu,” tambahnya.
Dalam laporan terbaharunya, DICT memaklumkan, program Wi-Fi percuma memberi manfaat kepada 9.8 juta pengguna di 1,401 bandar termasuk 3,040 kawasan yang terpencil.
DICT melancarkan program akses internet awam percuma pada tahun 2017 sebagai sebahagian daripada program kerajaan untuk menyediakan Wi-Fi percuma kepada semua rakyat di seluruh negara. – AGENSI










