GUA MUSANG: Seorang warga emas Orang Asli suku kaum Mendriq dari Kampung Kuala Lah di sini mendedahkan dia sudah mengundi lebih 10 kali sama ada dalam Pilihan Raya Umum (PRU) , Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK).
Gadong Kelisar, 84, berkata, dia mula menjalankan tanggungjawab itu sejak zaman pemerintahan Perdana Menteri pertama Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.
“Walaupun terpaksa menggunakan tongkat untuk berjalan, namun saya tetap bersemangat untuk menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
“Kami harapkan dengan undi daripada masyarakat Orang Asli ini ada wakil rakyat yang boleh membela nasib kami di Kampung Kuala Lah,” katanya ketika ditemui di Sekolah Kebangsaan (SK) Meranto di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Meranto di sini hari ini.
Sementara itu, anak Gadong, Kamal, 49, berkata, dia yang tinggal di Kuala Krai sanggup pulang bagi membolehkan bapanya keluar untuk mengundi.
Katanya, pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) ada menyediakan pengangkutan untuk membawa pengundi Orang Asli Kampung Kuala Lah ke Pusat Pengundian di SK Meranto namun dia bersama adiknya lebih selesa membawa sendiri ayah mereka ke pusat mengundi menggunakan kereta.
“Saya sampai di Kampung Kuala Lah semalam dan hari ini saya bersama ayah telah mengundi sebelum terus pulang ke Kuala Krai.
“Kami adik-beradik sepakat membawa sendiri ayah ke pusat pengundian kerana keadaan dia yang semakin uzur sejak beberapa tahun lalu dan terpaksa menggunakan tongkat untuk berjalan,” ujarnya.










