PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) disaran mewajibkan ujian saringan mental kepada bakal guru bagi mengatasi isu guru bermasalah terutama terlibat dalam perbuatan jenayah seksual terhadap pelajar.
Menerusi cara itu KPM boleh memilih dan melantik hanya calon yang benar-benar layak dengan kesihatan mental baik untuk mendidik generasi baharu yang lebih berkualiti.
Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP), Fouzi Singon berkata, KPM perlu mempertimbangkan cadangan itu kerana masalah guru yang terlibat dengan jenayah seksual turut berkait rapat dengan masalah mental dan psikologi seorang itu.
Menurut beliau, guru yang berfikiran waras dan mempunyai pertimbangan tidak akan melibatkan diri dengan salah laku seperti jenayah seksual terhadap murid.
“Walaupun murid yang datang menggoda, masalah jenayah seksual itu tidak akan berlaku sekiranya guru mengawal diri dan meletakkan jarak profesional hubungan sebagai seorang pengajar dan pelajar..
“Jadi sebab itu, saya tegaskan, perlunya pelan integrasi antara KPM dan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk kita laksanakan saringan mental ini kepada semua bakal guru,” kata beliau ketika ditemu bual Utusan Malaysia.
GURU
Kata Fouzi, saringan tersebut bukan sahaja dapat membantu melahirkan guru yang berkualiti malah dapat meningkatkan lagi sektor kualiti pendidikan di negara ini.
Selain itu, kata beliau, mewajibkan saringan metal tersebut merupakan langkah intervensi terbaik untuk mengelakkan KPM mengambil guru bermasalah.
“Saringan ini bukan sahaja baik kepada guru-guru malah kualiti pendidikan dapat ditingkatkan dan murid-murid juga dapat menerima pendidikan yang sewajarnya,” jelasnya.
Baru-baru ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengecualian kenaikan gred secara automatik (time-based) perlu dikenakan terhadap warga pendidik yang mempunyai masalah disiplin dan cuai dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.
Perdana Menteri berkata, kerajaan menerima prinsip kenaikan pangkat mengikut waktu tetapi tidak semua warga pendidik boleh menikmatinya terutama golongan guru bermasalah.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pula turut memberi amaran untuk memecat guru dan kakitangan sekolah yang didapati terbabit dengan jenayah seksual.
Menurut Fadhlina, terdapat peningkatan kes membabitkan gangguan seksual terhadap kanak-kanak ketika ini dan perkara itu membimbangkan.
Mengulas lanjut, Fouzi berkata, saringan kesihatan mental sangat penting bagi menghalang gangguan proses pembelajaran di sekolah.
“Cadangan ini timbul selepas NUTP banyak menguruskan kes guru-guru yang mempunyai masalah mental dan pernah ada kes sampai seminggu tidak datang mengajar. Jadi, situasi itu memberi kesan kepada proses pembelajaran,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
BERKUALITI
Menurutnya, saringan ini bukan sahaja dapat membantu melahirkan guru yang berkualiti malah dapat meningkatkan lagi sektor kualiti pendidikan di Malaysia dan mencari langkah intervensi terbaik untuk membantu guru-guru yang berhadapan dengan masalah mental.
“Jadi sebab itu, saya tegaskan, perlunya pelan integrasi antara KPM dan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk melaksanakan agenda ini demi kesejahteraan pelajar,” jelasnya.
Fouzi berharap, pihak kerajaan terutama kementerian pendidikan mengambil kira cadangan yang dilontarkan supaya sistem pendidikan dan keselamatan murid dapat diperkukuh.
Katanya, walaupun bakal melibatkan pelbagai kerjasama dari pelbagai kementerian terutamannya Kementerian Kesihatan, tetapi langkah itu perlu dilakukan secepat mungkin.
“Kalau boleh secepat mungkin saringan ini dilaksanakan. Saya faham, banyak libat urus perlu dilakukan dan pandangan yang harus diambil kira.
“Tetapi langkah itu perlu bagi memastikan kualiti pendidikan kita terjamin sebab tugas seorang guru itu besar kerana mereka yang akan mencorak masa depan murid,” jelasnya. – UTUSAN
Wawancara penuh di muka 14










