Wahab pertahan tradisi bina perahu panjang

Wahab pertahan tradisi bina perahu panjang

WAHAB Abdullah (kiri) menyiapkan bot panjang yang akan digunakan dalam perlumbaan Pesta Air Kuala Perlis September depan di Kuala Perlis, semalam. – UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kuala Perlis suatu ketika dahulu sememangnya sinonim dengan perahu panjang yang menjadi salah satu medium pengangkutan komuniti nelayan di kawasan berkenaan.

Peredaran masa, perahu panjang tersebut semakin dilupakan apabila kebanyakan nelayan khususnya cenderung memilih menggunakan bot fiber yang lebih menjamin ketahanannya.

Namun, bagi Wahab Abdullah, 63, dari Kampung Pulau Ketam di sini, selagi hayat dikandung badan, dia akan terus mempertahankan tradisi membina bot atau perahu panjang berkenaan agar tidak pupus ditelan zaman.

Katanya, sejak remaja, dia mula mempelajari selok-belok mengenai ilmu membaik-pulih bot kayu serta kerja-kerja membina bot panjang tersebut daripada bapa saudaranya.

Katanya lagi, sejak dari itu, dia terus menceburi bidang tersebut dan mempunyai pe­ngalaman lebih 20 tahun de­ngan kerja-kerja pembinaan bot panjang dan sampan kayu ini.

“Pada masa ini, saya kebiasaan hanya menerima tempahan bot panjang bagi tujuan pertandingan perlumbaan se­perti pesta air dan sebagainya. Lazimnya, saya mengambil masa sebulan bagi menyiapkan sesebuah bot panjang mengikut permintaan pelanggan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

Tambah bapa kepada dua anak itu, dia mengambil upah sekitar RM6,500 bagi menghasilkan sebuah bot panjang bersaiz 50 kaki atau 15 meter dan boleh dinaiki seramai 14 pendayung.

“Pelbagai jenis kayu boleh digunakan bagi menghasilkan bot panjang ini namun kini saya lebih memilih menggunakan kayu mendarah (Myristica iners Blume) kerana ia lebih ringan dan lembut.

“Saya juga tidak menggunakan sebarang paku bagi membina bot panjang ini kerana ia tidak tahan lama apabila berada dalam air masin dan hanya menggunakan pasak buluh bagi menjamin ketahanannya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN