MELAKA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan bahawa keganasan bersifat ‘lone wolf’ merupakan antara ancaman kepada negara, meskipun Malaysia tersenarai sebagai negara ke-10 terselamat mengikut Indeks Keamanan Global.
Ahmad Zahid berkata, radikalisasi melalui media sosial dan propaganda ekstremis boleh mempengaruhi individu untuk terlibat dalam aktiviti keganasan.
Jelasnya, landskap ancaman keselamatan global kini adalah lebih dinamik dan mencabar.
“Konflik dan ketegangan geopolitik seperti peperangan antara Rusia-Ukraine, pencabulan berterusan Israel terhadap Palestin, ketegangan antara Amerika Syarikat dan China, krisis ketenteraman awam di Bangladesh dan rusuhan di United Kingdom serta ekonomi global yang tidak menentu mewujudkan ketidaktentuan yang berpanjangan.
“Alhamdulillah, Malaysia amnya berada dalam keadaan selamat. Sebagai bukti, kita kini tersenarai sebagai negara ke-10 terselamat mengikut Global Peace Index yang dikeluarkan baru-baru ini.
“Walau bagaimanapun, kita tidak boleh leka. Sebagai contoh, Malaysia sendiri menghadapi ancaman dalam dan luar, ancaman keganasan yang bersifat lone wolf,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Penutup Program Latih Amal Keselamatan Menyeluruh (EX COMSEC) 2024 di Sungai Udang di sini, hari ini.
EX COMSEC 2024 merupakan kesinambungan daripada pelaksanaan pada 2023 yang berkonsepkan table top exercise (TTX).
Pada tahun ini, ia dijalankan secara field training exercise (FTX) melibatkan atur gerak aset-aset keselamatan di lapangan selama dua hari dengan penglibatan pegawai dan anggota yang terlibat dalam pengurusan dan pengendalian krisis keganasan di bawah Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 18: Dasar dan Mekanisme Pengurusan dan Pengendalian Krisis Keganasan (Semakan 2023).
Tambah Ahmad Zahid, konsep keselamatan menyeluruh perlu menjadi tonggak kepada strategi keselamatan kerana ia membolehkan tanggungjawab memelihara keselamatan negara dipikul bersama seluruh jentera kerajaan dan segenap lapisan masyarakat secara proaktif.
“Ini termasuklah memastikan pendekatan kerajaan bagi melahirkan komuniti yang bersiap siaga, berupaya berdepan dengan krisis, membina kapasiti dan kompetensi komuniti dan memperkukuh daya tahan berhadapan cabaran seharian,” katanya. – UTUSAN










