ARAU: Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengingatkan agar aset dan hartanah kerajaan perlu diurus dengan berhemah dan ditadbir penuh cekap.
Baginda bertitah, ia bagi mengoptimumkan hasil dan manfaat kepada kerajaan sekali gus mengelakkan mengalami kerugian jangka pendek mahupun panjang.
“Kajian mendalam dan seterusnya perancangan yang berstrategi perlu dilaksanakan dalam memastikan pengurusan aset dan hartanah kerajaan dapat diurus dengan cara yang terbaik,” titah baginda selepas berkenan menyampaikan agihan zakat MAIPs di Masjid Ibnu Taimiyah, Tambun Tulang, di sini semalam.
Pada majlis itu, seramai 140 orang penerima dalam kalangan anak kariah Tambun Tulang dan Behor Mempelam menerima sumbangan zakat berjumlah RM700 seorang.
Majlis sumbangan tersebut dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi meringankan beban dan menyalurkan bantuan kepada golongan asnaf di negeri ini berdasarkan kariah masing-masing.
Baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan agihan MAIPs kepada 140 penerima dalam kalangan anak kariah Padang Besar Utara dan Felda Rimba Mas di Masjid Solahuddin Al-Ayyubi Padang Besar Utara di sini.
Tambah baginda, kerjasama yang dilaksanakan dengan mana-mana pihak harus dipastikan dapat dilakukan dengan telus.
“Ia tanpa sebarang kepentingan serta memberikan hasil seperti yang dipersetujui awal melalui tindakan susulan,” titah baginda.
Dalam pada itu, baginda juga menitahkan agar penjawat awam sentiasa membuktikan mereka berperanan dalam memudah cara, menjadi penyelesai masalah dan professional dalam memberikan pandangan serta nasihat tanpa mengenepikan nilai integriti dalam menjalankan tanggungjawab diberikan. – UTUSAN










