UMNO boleh mendominasi jika pilih kerjasama politik tepat

UMNO boleh mendominasi jika pilih kerjasama politik tepat

UMNO disaran memperkukuh naratif progresif dan memanfaatkan pengalaman kepimpinannya dalam menarik sokongan untuk terus relevan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: UMNO mempunyai peluang menjadi parti yang mendominasi kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) jika memilih kerjasama politik yang tepat.

Penganalisis politik, Prof. Dr. Azmi Hassan berkata, untuk mencapai keadaan tersebut UMNO memerlukan kerjasama politik kerana buat ketika ini adalah mustahil untuk UMNO bergerak solo bagi meraih majoriti dua pertiga daripada keseluruhan kerusi Dewan Rakyat.

Jika UMNO memperoleh kerusi yang lebih banyak iaitu lebih daripada 26 kerusi yang mereka ada ketika ini maka ia akan membuat kerjasama dengan PH dan itu boleh dikatakan sama taraf dengan DAP, dengan PKR serta Parti Amanah Negara (Amanah).

Untuk UMNO kembali dominan, mereka perlu mengikut strategi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi iaitu bekerjasama dengan parti politik lain, tidak boleh ikut strategi Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh sebab sukar untuk parti itu raih majoriti dua pertiga.

Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri menggariskan ‘formula’ untuk UMNO menambah dominasi di Dewan Rakyat.

Menurut Presiden UMNO itu, parti itu perlu merampas kembali kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang calon-calonnya tewas dan berada di kedudukan kedua pada PRU15 serta Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, formula tersebut boleh digunakan dan akan dibincang bersama parti lain dalam Kerajaan Perpaduan untuk diselesaikan.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, UMNO perlu menentukan kerjasama politik yang mana akan memberi kelebihan kepada parti itu pada PRU16.

“Sampai bila kerjasama itu akan diteruskan? Ini akan bergantung kepada UMNO, jikalau mereka melihat kerjasama dengan PH akan memberi kelebihan kepada mereka pada masa hadapan, maka ia akan diteruskan tetapi ketika ini kerjasama tersebut memberi kelemahan iaitu memberi stigma negatif kepada UMNO.

“Jika kerjasama dengan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRU16 dapat menjadikan UMNO kembali dominan maka ia merupakan cara terbaik,” jelasnya.

Sementara itu, ditanya bagaimana UMNO dan DAP dapat meneruskan kerjasama politik yang berpanjangan memandangkan dua parti itu mempunyai matlamat berbeza, Azmi berpandangan itu tidak menjadi halangan.

“DAP sedar bahawa terutama PH memerlukan sokongan orang Melayu, PKR dan Amanah sukar untuk memainkan peranan tersebut. Jadi dalam hal ini DAP dilihat bertolak ansur untuk bekerjasama dengan UMNO.

“Tarikan undi Melayu ini terletak pada UMNO,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN