KUALA LUMPUR: Tindakan UMNO untuk tidak menjemput wakil Kerajaan Perpaduan ke Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 minggu hadapan mungkin tidak mahu ‘memanaskan’ lagi keadaan berhubung beberapa isu tercetus ketika ini.
Sama ada isu tersebut di peringkat nasional mahupun parti, ia sedikit sebanyak menjadi liabiliti kepada UMNO untuk menjawab segala persoalan yang bakal dibangkitkan oleh perwakilan.
Di peringkat nasional, UMNO yang merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan dilihat bertindak sebagai ‘perisai’ dalam mempertahankan segala isu berkaitan orang Melayu dan agama Islam. Ia susulan beberapa isu membabitkan sensitiviti agama, contohnya terbaharu, pengharaman komik-komik kontroversi, Inisiatif Jalur dan Jalan Meraih Manfaat Bersama karya tulisan bekas ahli DAP, Hew Kuan Yau.
Sebelum itu, isu pemberian sumbangan dan tajaan syarikat minuman keras kepada sekolah Cina turut diserang hebat. Begitu juga cadangan bukan Islam menganggotai Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.
Turut menimbulkan kemarahan orang Melayu apabila DAP menggesa kerajaan memulakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di ibu negara terlebih dahulu bagi menyemarakkan demokrasi. Tidak lupa juga dengan isu Global Infrastructure Partners (GIP) milik penuh syarikat pelaburan dari Amerika Syarikat (AS), BlackRock bakal memiliki pegangan dalam Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Di peringkat parti pula, UMNO dilihat ‘tegang’ dengan Parti Amanah Negara (Amanah) kerana tidak memberi ruang untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota. UMNO dikatakan tidak menunjukkan konsep perpaduan di Johor, sekali gus ruang harus diberi kepada Amanah untuk bertanding di kerusi berkenaan.
Segala perdebatan ini berlaku hampir ke tarikh keramat PAU 2024 bermula 21 Ogos ini. Cara terbaik adalah menutup ruang daripada menjawab pelbagai soalan serta ‘peluru’ untuk pihak lawan menyerang UMNO dan rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan.
Malah, kepimpinan parti juga mungkin mahu menghormati perasaan perwakilan yang hadir. Mungkin ada yang tidak selesa melihat kebersamaan wakil Kerajaan Perpaduan di atas satu pentas bersama UMNO, malah mungkin ada yang masih berasa janggal, jika dahulu No Anwar, No DAP, namun kini konsep yang ‘dipasak’ dalam pemikiran akar umbi perlu diubah bagi menerima kerjasama yang berlaku hari ini.
Maka sebab itu UMNO kali ini membuat kelainan dengan tidak menjemput mana-mana parti untuk hadir ke PAU 2024 di mana Setiausaha Agungnya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ruang pada tahun ini diberikan sepenuhnya kepada keluarga UMNO sahaja, berbeza dengan perhimpunan tahun-tahun lalu.
Meksipun masih terlalu awal untuk berbahas mengenai isu Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), namun segala persiapan dilihat dibuat lebih awal supaya percaturan UMNO pada kali ini tepat.
Bagaimanapun, UMNO meletakkan beberapa percaturan pada tahap berisiko. Ia perlu bagi memastikan survival UMNO pada masa akan datang supaya jumlah kerusi yang dimenangi dapat ditingkatkan setelah hanya memperoleh 26 kerusi pada PRU15.
Persoalan utama, adakah perlu untuk UMNO bergerak solo atau terus bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan dalam PRU16? – UTUSAN











