PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, adalah tugas semua rakyat untuk menyelamatkan Malaysia daripada sebarang bentuk kebencian dan permusuhan yang boleh memusnahkan negara.
Untuk itu, Perdana Menteri menegaskan, beliau akan menggunakan segala kuasa dan kekuatan yang ada andai terdapat mana-mana kelompok kecil yang membawa hasutan kaum ke arah keganasan dan kebencian permusuhan satu sama lain.
“Jika ada mana-mana kelompok kecil bawa hasutan kaum ke arah keganasan dan kebencian dan permusuhan antara satu sama lain, saya tidak peduli sama ada disenangi media antarabangsa atau negara luar kerana tugas kita adalah selamatkan Malaysia tercinta ini.
“Kalau tidak cukup, kita pinda undang-undang, ambil tindakan supaya negara ini selamat dan dapat diangkat sebagai negara hebat di rantau dan dunia ini. Saya bimbang kalau dianggap ringan,” katanya ketika menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2024 di sini, semalam.
Anwar juga percaya negara ini adalah sebuah negara hebat kerana rakyatnya dan berpotensi untuk menjadi lebih hebat kalau masing-masing boleh berpakat untuk mengangkat darjat negara tanpa meminggirkan sesiapa.
“Apa kurangnya di negara kita, kesedaran, pencerahan, keupayaan menarik pelaburan, meningkatkan pendidikan untuk yang paling kaya kepada yang paling miskin, jangan pinggirkan sesiapa.
“Semangat perpaduan sangat penting dan tidak boleh diremehkan, (ada yang) mahu popular, pejuang tapi meremehkan, menghina agama dan negara kita.
“Saya nak guna kesempatan untuk memberi amaran bahawa negara ini di tapak landasan sangat baik dan mampu diangkat cemerlang,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut menasihatkan generasi muda yang disifatkan sebagai penyambung legasi kemerdekaan agar tidak menjadi ‘perkakas murahan’ yang mudah untuk dipermainkan bagi mendapatkan wang serta kuasa oleh pihak tertentu.
Sebaliknya, beliau mahu golongan itu mencari kebenaran bagi menegakkan keadilan, seterusnya berupaya menyelamatkan bangsa dan negara.
“Saya gunakan kesempatan kemerdekaan ini untuk mengingatkan anak muda penerus generasi yang akan menentukan arah ini, maka belajarlah mendapatkan pencerahan sebenar.
“Jangan jadi perkakas murahan atas nama kaum atau agama, dipermainkan atau diperolok, untuk orang cari wang dan kuasa atau pengaruh.
“Cari kebenaran untuk tegakkan keadilan, selamatkan bangsa dan angkat martabat negara ini, itu tugas generasi muda untuk selamatkan negara,” katanya.
Perdana Menteri juga menegaskan aspirasi jiwa merdeka sangat bermakna dan menjadi tonggak kekuatan dan satu semangat yang harus terus disepakati yang lahir dari dari hasrat rakyat jelata seluruhnya. – UTUSAN










