SOLINGEN: Polis Jerman menangkap seorang lagi lelaki yang disyaki membunuh tiga individu dan mencederakan lapan yang lain dalam serangan pisau di bandar Solingen, kelmarin.
Menteri Dalam Negeri North Rhine-Westphalia, Herbert Reul mengesahkan penangkapan lelaki terbabit semalam.
“Kami menemui bukti dan lelaki itu adalah suspek yang kami cari,” katanya.
Beliau tidak memberikan butiran lanjut, tetapi laman berita Jerman, Bild dan Spiegel melaporkan suspek dalam pakaian kotor berlumuran darah, menyerah diri.
Ini adalah penahanan ketiga yang dibuat semalam, susulan serangan mengejutkan di Festival Kepelbagaian bandari itu.
Terdahulu, polis memaklumkan seorang lelaki ditahan di pusat pelarian berhampiran lokasi serangan.
Bild melaporkan, pegawai pasukan petugas khas (SEK) menyerbu pusat pelarian dan menahan seorang suspek.
Penangkapan itu berlaku beberapa jam selepas seorang remaja 15 tahun ditahan.
Polis berkata, dia bukan suspek utama tetapi didakwa mengetahui mengenai serangan tersebut.
Penyerang dilaporkan menikam orang ramai secara rambang semasa festival yang diadakan sempena ulang tahun ke-650 bandar Solingen.
Dua lelaki berusia 56 dan 67 tahun serta seorang wanita berumur 56 tahun ditikam hingga mati dalam serangan yang dianggap mengerikan itu.- BBC










