SOLINGEN: Tiga terbunuh dan empat lagi cedera parah dalam satu serangan di sebuah festival di bandar Solingen, barat Jerman, semalam.
Polis berkata, serangan bersenjatakan pisau itu berlaku sekitar pukul 9.45 malam (waktu tempatan) di sebuah dataran pusat, Fronhof dan pelaku masih dalam buruan.
Datuk Bandar, Tim Kurzbach dalam hantaran di Facebook berkata, kejadian yang berlaku di Solingen amat mengejutkan dan bersimpati dengan mangsa terlibat.
“Kami semua ingin meraikan ulang tahun bandar bersama-sama, tetapi sekarang kita terpaksa meratapi kematian dan mereka yang cedera.
“Ini sangat memilukan hati saya apabila serangan sebegini berlaku di bandar ini,” katanya.
Festival Kepelbagaian diadakan sempena ulang tahun ke-650 bandar itu, bermula pada Jumaat hingga Ahad, dengan pelbagai aktiviti menjadi tarikan seperti persembahan muzik dan akrobatik.
Solingen mempunyai kira-kira 160,000 penduduk dan terletak berhampir bandar besar Cologne dan Duesseldorf.- AP











