BESUT: Seorang pembuat tanjak tidak menang tangan menerima tempahan daripada orang ramai sempena sambutan Bulan Kebangsaan pada Ogos ini.
Siti Zabidah Mohd. Nawi, 34, berkata, dia mula menerima tempahan tanjak daripada pelanggan sejak Mei lalu termasuk secara dalam talian.
Menurutnya, pada setiap hari, dia dapat menghasilkan kira-kira 30 hingga 40 helai tanjak.
Katanya, dia juga mampu menjana pendapatan kira-kira RM300 sehari hasil daripada menjual tanjak terutama pada Bulan Kemerdekaan.
“Tanjak yang dihasilkan menerima banyak tempahan borong sehingga mencecah 1,000 helai kerana ramai yang berminat membelinya secara borong dan dijual semula,” katanya ketika ditemui di Kampung Anak Musang, Bukit Jeruk di sini, semalam.
Siti Zabidah yang mempunyai empat cahaya mata memberitahu, dia belajar menghasilkan tanjak daripada internet dan mengubah suai dengan cara lebih mudah dan cepat disiapkan.
Katanya, kebiasaannya suami dan anak-anak turut membantu melakukan kerja-kerja membungkus tanjak yang sudah siap sebelum dihantar kepada pelanggan di seluruh negara.
“Tanjak yang dihasilkan itu dijual pada harga RM22 sepasangmanakala pembelian borong 20 helai ke atas berharga RM17 sepasang,” katanya.










