KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu, sejumlah RM222,811.95 dimasukkan ke dalam akaun peribadi bekas Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man selepas beliau membatalkan tempahan pakej percutian keluarga ke London, United Kingdom yang telah dibayar oleh kerajaan negeri pada 2016.
Abdul Rahim Halim, 47, berkata, kerajaan negeri meluluskan pembayaran berjumlah RM253,195.40 kepada syarikat pelancongan Aidil Travel & Tours Sdn. Bhd. untuk tempoh percutian dan perjalanan ke luar negara di antara 23 Disember 2016 hingga 1 Januari 2017.
Beliau yang ketika itu pengurus jualan di syarikat berkenaan berkata, selepas Azlan membatalkan tempahan percutian, sebanyak RM222,8111.95 dipulangkan dan dimasukkan ke dalam akaun peribadinya melalui cek.
Menurut saksi pendakwaan ketujuh (SP7), jumlah itu merupakan baki selepas ditolak caj perkhidmatan sebanyak 12 peratus.
“Percutian Menteri Besar Perlis pada tahun 2016 tidak berlaku tetapi wang telah dipulangkan ke dalam akaun peribadi atas arahan Setiausaha Sulit Kanan (SUSK), Herwadey Hashim,” ujar beliau yang kini pengarah Corporate Travel Advisor Sdn. Bhd.
Abdul Rahim berkata demikian ketika membaca pernyataan saksi pada perbicaraan kes bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong itu yang berdepan 10 pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu dan menerima wang hasil aktiviti haram.
Mahkamah sebelum ini diberitahu, sebanyak RM629,395.30 dimasukkan ke dalam akaun peribadi Azlan selepas bekas Menteri Besar Perlis itu membatalkan pakej percutian pada 2013, 2014 dan 2015 yang ditempah menerusi sebuah syarikat lain.
Pengarah Syarikat Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn. Bhd., Alimah Omar, 66, berkata, tiga cek dikeluarkan atas nama Azlan walhal bayaran itu sepatutnya dibuat kepada Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Perlis.
Abdul Rahim selanjutnya berkata, beliau bertemu Azlan secara peribadi sekitar 2016 selepas diperkenalkan oleh Herwadey sewaktu membawa rombongan SUK Perlis seramai 10 orang ke Rome, Italy.
Saksi selanjutnya menyatakan, kerajaan negeri turut membuat tempahan pakej percutian Azlan sekeluarga ke London di antara 23 hingga 30 November 2017 dan meluluskan pembayaran RM244,079.30 kepada Aidil Travel & Tours.
Ujar Abdul Rahim, Herwadey ketika itu menghubunginya dan meminta menyediakan sebut harga bagi tuntutan perjalanan Menteri Besar sekeluarga ke London dengan kadar yang layak diterimanya.
Azlan, 65, berdepan lima pertuduhan berkaitan tuntutan palsu bagi kemudahan cuti seberang laut berjumlah lebih RM1.18 juta yang didakwa dilakukan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Kompleks Dewan Undangan Negeri, Persiaran Wawasan, Kangar antara Disember 2013 dan Disember 2017.
Hal itu membabitkan sebut harga tiket penerbangan ke London, United Kingdom serta invois syarikat pelancongan Sri Kedawang Travel & Tours (W) Sdn Bhd dan Aidil Travel & Tours Sdn Bhd.
Azlan turut didakwa atas lima pertuduhan menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM1.06 juta antara 19 Februari 2014 dan Disember 2017 di Maybank cawangan Jalan Tuanku Abdul Rahman, CIMB Bank cawangan Putrajaya serta Hotel Sheraton Imperial di sini antara 19 Februari 2014 dan Dis 2017.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok.










